
KOTA BHARU: Kenyataan pemimpin DAP, Tony Pua Kiam Wee berhubung institusi diraja disifatkan sebagai tidak beradab dan melanggar batas.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kenyataan terbabit tidak wajar diucapkan dalam konteks menghormati institusi raja dan Perlembagaan negara.
Menurutnya, beliau turut mengikuti kenyataan balas beberapa pihak termasuk Ronnie Liu Tian Khiew mengenai isu tersebut.
“Tony Pua bagi saya telah melanggar batas sehingga menyebut kita tunduk kepada Perlembagaan tetapi tidak kepada dekri (titah).
“Perkataan itu tidak patut diucapkan dalam konteks taat kepada raja dan institusi raja,” katanya kepada media, di sini.
Beliau berkata, tindakan Istana Selangor yang menegur pihak tertentu dalam isu itu juga merupakan langkah baik bagi memberi kesedaran kepada rakyat.
Tambahnya, masyarakat hari ini semakin kurang memberi perhatian terhadap tata negara dan Rukun Negara berbanding generasi terdahulu.
“Kalau zaman kita sekolah dulu, perkara ini ada dalam buku sekolah dan kita diminta membacanya.
“Akan tetapi mungkin sekarang ini tidak lagi,” katanya.
Terdahulu Tony Pua yang merupakan bekas Ahli Parlimen Damansara, dalam kenyataannya mendakwa, Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan kuasa raja berbeza sedikit mengikut negeri.
“Namun secara umumnya, kuasa raja adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Selasa.
Dalam kenyataannya itu lagi, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP mendakwa bahawa rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat.
Beliau juga mendakwa, sebaliknya negara ini mempunyai Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dianggotai wakil rakyat dipilih oleh rakyat untuk membuat undang-undang dan keputusan tersebut.
Tambah beliau, perkara itu selaras sepenuhnya dengan Rukun Negara khususnya prinsip kedua, ketiga dan keempat iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.
“Ya, saya setia kepada Raja dan Negara dan akan mematuhi Kedaulatan Undang-Undang mengikut Perlembagaan Persekutuan. Bukan titah,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/5/2026











