
KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu meletakkan seluruh jenteranya dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) susulan perkembangan politik semasa yang disifatkan tidak menentu.
Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, langkah itu menjadi pendekatan berterusan parti dalam mendepani sebarang kemungkinan termasuk sekiranya pilihan raya diadakan lebih awal.
Menurutnya, PAS bersama Perikatan Nasional (PN) tidak terkesan dengan spekulasi berkaitan pembubaran Parlimen atau sebarang langkah politik yang mungkin diambil kerajaan.
“Apa yang penting, kita sentiasa bersedia tanpa mengira sama ada pilihan raya diadakan dalam masa terdekat atau mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan di Dewan Fikri, SMA (Atas) Sultan Zainal Abidin, baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk mengalu-alukan pelantikan Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang bagi memperkukuh strategi PN menjelang sidang Parlimen akan datang.
“Kita yakin beliau merupakan tokoh yang layak memegang jawatan itu bagi menghadapi sidang Parlimen akan datang.
“Malah, pelantikan ini memberi gambaran kepada rakyat Malaysia mengenai kepimpinan yang bakal menerajui negara selepas PRU16 akan datang,” ujarnya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan kemungkinan membubarkan Parlimen untuk mengadakan PRU16 lebih awal jika rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan terus bertindak menggugat kestabilan politik di negara ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata pendirian berkenaan diambil susulan keputusan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding secara solo di semua kerusi di Johor. – HARAKAHDAILY 21/5/2026











