ADUN Bandar santuni keluarga remaja maut kemalangan

Ahmad Shah (dua dari kanan) mendengar luahan Wah Tee Tun di Rumah Mayat Hainam Balik Bukit, Terengganu.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga seorang remaja yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Losong Feri, pada Selasa.

Beliau bersama isteri hadir menziarahi keluarga mendiang Wah Han Keong, 18, di Rumah Mayat Hainam Balik Bukit bagi mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat serta kerajaan negeri menyampaikan ucapan takziah.

- Advertisement -

Menurut Ahmad Shah, tragedi yang menimpa remaja itu mengejutkan masyarakat setempat selain meninggalkan kesan mendalam kepada rakan-rakan dan guru mangsa.

“Semalam kita semua dikejutkan dengan satu tragedi kemalangan jalan raya di Jalan Losong Feri yang telah meragut nyawa seorang anak muda, mendiang Wah Han Keong yang meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kehadiran ramai sahabat dan guru pada hari ini jelas menggambarkan betapa mendiang seorang insan yang disenangi dan dihormati ramai,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.

Beliau turut berharap keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan tersebut serta dipermudahkan segala urusan.

“Semoga diberikan kekuatan hati, ketabahan jiwa dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.

Terdahulu, Han Keong, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian leher selepas van dinaiki bersama bapanya dirempuh sebuah Volkswagen Golf GTI.

Bapanya, Wah Tee Tun, 49, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 3.36 petang itu, mereka dalam perjalanan ke bandar untuk melakukan kerja-kerja pendawaian.

Menurutnya, sebuah kereta dari arah bertentangan dipandu laju sebelum terbabas, melanggar pembahagi jalan dan merempuh van mereka.

Mendiang yang merupakan anak sulung daripada dua beradik difahamkan sedang menunggu keputusan permohonan menyambung pengajian dalam bidang automotif melalui Unit Pusat Universiti (UPU).

Han Keong dikatakan meminati bidang automotif dan telah memohon untuk melanjutkan pengajian di Politeknik Dungun atau institusi sama di Kota Bharu, Kelantan.

Tee Tun yang menetap di Banggol Peradong, Manir menyifatkan anaknya sebagai seorang yang rajin, jujur dan sentiasa membantu keluarga dengan bekerja bersamanya selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). – HARAKAHDAILY 21/5/2026

- Advertisement -