Dakwa PAS tak tanding di Johor, mainan persepsi politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya PAS tidak akan bertanding di Johor disifatkan sebagai permainan persepsi politik yang bertujuan melemahkan semangat jentera parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar menegaskan, setakat ini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung perkara itu.

- Advertisement -

“Mana datang berita PAS tak bertanding di Johor? Tidak ada sebarang kenyataan rasmi setakat yang dalam pengetahuan kami,” tegasnya dalam media sosial milik beliau, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan dakwaan bahawa PAS Johor tidak bertanding itu yang disebarkan pada 18 Mei lalu melalui sebuah halaman media sosial, Tun Carlos tanpa bukti rakaman video atau pautan laman berita rasmi arus perdana.

“PAS umum x (tak) tanding di PRN Johor kerana Umno go solo tolak DAP. Terbaik PAS, kekal prinsip Perpaduan Melayu yg mereka sering laungkan!” dakwa laman media sosial tersebut.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Mohd Firdaus Jaffar turut menegaskan, dakwaan berkenaan hanyalah gerak saraf yang dimainkan pihak tertentu bagi membentuk persepsi serta melemahkan semangat jentera.

Menurut beliau, sehingga kini tiada sebarang arahan rasmi dikeluarkan pimpinan parti berhubung perkara itu.

“Hakikatnya, sehingga hari ini tiada sebarang arahan rasmi sedemikian dikeluarkan oleh pimpinan parti.

“Malah, pimpinan PAS dan Perikatan Nasional (PN) sendiri beberapa kali menegaskan bahawa jentera di Johor berada dalam keadaan siap siaga menghadapi PRN pada bila-bila masa,” jelasnya.

Beliau menyeru, jentera parti di negeri itu agar terus memperkukuhkan gerak kerja dan kekal fokus menghadapi pilihan raya apabila tiba masanya.

“Jadi, kita kekal fokus, terus memperkukuhkan gerak kerja dan bersedia melangkah masuk ke medan pilihan raya apabila sampai waktunya.

“Jangan mudah terpengaruh dengan permainan persepsi politik semasa, kerana kami juga terus bekerja dan kekal fokus di lapangan. Tiada masa untuk berlengah,” katanya.

Sebelum ini, pada 27 April, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, PAS tidak menolak kemungkinan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor akan datang.

Namun menurut Bendahari PN itu, keputusan muktamad masih dibincangkan bersama kepimpinan negeri dan parti dalam PN.

Beliau berkata, PAS Johor sudah bersedia menghadapi pilihan raya dengan jentera parti di semua peringkat digerakkan lebih awal.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah turut menegaskan, agihan kerusi hanya akan diputuskan selepas rundingan selesai antara kepimpinan PAS Johor dan PN Johor. – HARAKAHDAILY 21/5/2026

- Advertisement -