Tony Pua tingkat resah awam, hipokrit, oportunis

Meruncingkan polarisasi, ketegangan kaum dan agama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemimpin DAP, Tony Pua dilihat telah meningkatkan keresahan awam serta mencetuskan kontroversi baharu ketika suhu ketegangan kaum dan agama berada pada tahap membimbangkan susulan reaksi balas terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sikap mempersoalkan titah dan nasihat Diraja dengan berselindung di sebalik tafsiran konsep Raja Berperlembagaan apabila tidak selari dengan kehendak sendiri, namun menerimanya apabila menguntungkan pihak tertentu, hanya memperlihatkan sifat hipokrit dan oportunis.

- Advertisement -

Katanya, walaupun isu-isu tersebut boleh dianggap sebagai isu pentadbiran atau perbezaan pendekatan secara berasingan, namun apabila diperdebatkan dalam suasana sarat emosi dan dipolitikkan, ia secara kumulatif akan meningkatkan keresahan awam serta meruncingkan polarisasi masyarakat.

Setiausaha Agung PAS itu menegaskan titah Sultan Sharafuddin itu perlu difahami dalam konteks lebih luas menerusi semangat tanggungjawab kebangsaan dan sikap sederhana.

Jelas beliau, titah baginda berhubung kepentingan menghormati asas-asas Perlembagaan negara, keharmonian kaum serta sensitiviti masyarakat majmuk di negara itu agar semua pihak tidak memarakkan sentimen perkauman serta menghakis kerukunan sosial.

Sehubungan itu PAS katanya, memandang serius kenyataan balas Pengerusi Jawatankuasa Disiplin dan Penasihat Dasar kepada Setiausaha Agung DAP itu terhadap titah dan nasihat daripada Sultan Selangor .

“PAS percaya apa-apa respons atau kenyataan melibatkan institusi Raja-Raja Melayu hendaklah dibuat dengan penuh hati-hati, adab dan kehormatan yang setanding dengan status serta peranan perlembagaan, sejarah dan budaya Raja-raja.

“DYMM Raja-Raja sebagai tonggak kestabilan dan kedaulatan negara dalam sistem demokrasi Malaysia,” katanya yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) dalam satu kenyataan media, hari ini.

Takiyuddin berkata, episod tersebut tidak boleh dilihat secara terpisah daripada perkembangan semasa yang menyaksikan peningkatan pertikaian awam melibatkan pelbagai isu berlaku mutakhir ini.

Beliau merujuk isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), penggunaan Bahasa Cina dalam dokumen rasmi kerajaan, penternakan babi di Selangor serta perdebatan mengenai Perlembagaan, dasar kerajaan, Bahasa Kebangsaan, agama dan kaum.

“Dalam pada itu, PAS berpandangan sesebuah kerajaan bukan sahaja perlu mentadbir dengan cekap dan berkesan, tetapi juga mesti dilihat berkeupayaan mempertahankan kestabilan sosial, menarik keyakinan rakyat serta meletakkan kepentingan negara mengatasi pertimbangan partisan,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, ketika negara berdepan tekanan ekonomi dan ketidaktentuan global, Malaysia memerlukan kepimpinan yang mampu menyuburkan keyakinan serta kepercayaan awam, bukannya terus meledakkan kontroversi yang tidak perlu disebabkan keterdesakan politik atau kegagalan mengawal emosi.

Semalam, Tony Pua dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu sahaja.

Kenyataan itu sebagai reaksi terhadap titah Sultan Selangor yang sebelum ini menzahirkan rasa dukacita terhadap sikap segelintir ahli politik yang dikatakan gagal memahami semangat Rukun Negara dan sensitiviti institusi diraja.

Baginda secara khusus menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki serta bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew supaya lebih kerap mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor.

“Beta menyeru kepada semua wakil rakyat negeri ini untuk datang sendiri ke Dataran Selangor ini setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada plak monumen ini.

“Khusus ditujukan kepada Siew Ki dan Ronnie Liu, Beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk faham dan hayati makna Rukun Negara.

“Agar menjadi rakyat yang tahu menghormati kedaulatan institusi raja serta menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titah baginda menerusi kenyataan Istana Alam Shah. – HARAKAHDAILY 21/5/2026

- Advertisement -