
DUNGUN: Hasrat seorang bapa untuk memiliki kediaman lebih selesa selepas hampir dua dekad menunggu akhirnya tercapai menerusi pelaksanaan Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) yang terus memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah di negeri ini.
Adnan Abdullah berkata, kehidupan sebelum ini serba kekurangan dengan keadaan rumah lama yang uzur serta tidak lagi selamat untuk didiami, termasuk kemudahan asas seperti tandas yang terletak di luar rumah.
Beliau berkata, perubahan yang dinikmati hari ini memberi kelegaan besar kepada keluarganya selepas melalui tempoh penantian yang panjang.
“Selama ini kami hidup dalam keadaan serba sederhana. Untuk ke tandas pun kami terpaksa keluar rumah dahulu.
“Syukur Alhamdulillah, selepas menunggu sekian lama akhirnya kami sekeluarga dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa di rumah sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat, khususnya dalam aspek penyediaan perumahan.
Menurutnya, walaupun pelbagai cabaran dihadapi dalam pelaksanaan program berkenaan, usaha memastikan rakyat mendapat kediaman lebih baik akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa.
“Alhamdulillah, berkat kesabaran keluarga Encik Adnan selama ini, mereka kini dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan selesa bersama keluarga tersayang,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam membantu rakyat yang memerlukan menerusi pelaksanaan PPTS di seluruh negeri.
Beliau berkata, program berkenaan merupakan antara inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, khususnya dalam kalangan mereka yang memerlukan kediaman selesa.
Menurutnya, kerajaan negeri akan terus memantau pelaksanaan PPTS di semua 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu dan tidak menolak kemungkinan penambahan peruntukan sekiranya diperlukan, bergantung kepada kedudukan kewangan negeri.
“Kos pembinaan bagi setiap unit rumah di bawah program berkenaan dianggarkan sekitar RM75,000,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 21/5/2026











