Tindakan tegas tangani ancaman anjing liar

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu memberi jaminan akan mengambil tindakan tegas bagi menangani ancaman anjing liar yang menjejaskan keselamatan penduduk serta mengakibatkan kerugian kepada penternak di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri tidak akan berdiam diri susulan kejadian serangan anjing liar terhadap haiwan ternakan milik penduduk kampung.

- Advertisement -

Menurutnya, tindakan pelupusan anjing liar yang berkeliaran sering menerima bantahan daripada golongan pencinta haiwan, namun aspek keselamatan awam dan kelangsungan ekonomi penternak perlu diberi keutamaan.

“Bila kita ambil tindakan untuk lupuskan anjing liar yang berkeliaran, maka melenting para pencinta anjing.

“Bila haiwan ternakan orang kampung jadi mangsa, boleh ke kita nak minta pencinta anjing tolong bayar ganti rugi?” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, sekiranya tiada pihak yang tampil bertanggungjawab terhadap kerugian dialami penternak, kerajaan negeri bersedia membantu meringankan beban mangsa.

Katanya, bantuan itu bukan sahaja membabitkan sokongan kepada penternak terjejas, malah tindakan mengawal populasi anjing liar daripada terus mengganggu ketenteraman awam.

“Kalau tak boleh (minta ganti rugi) tak apalah, biar kerajaan negeri tolong bantu penternak.

“Bukan bantu penternak terlibat sahaja, tetapi juga bantu ‘pindah alam’ anjing-anjing liar yang berkeliaran,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan kejadian menimpa seorang penternak kampung, dikenali sebagai Cikgu Tuan Fauzi yang kerugian selepas beberapa ekor kambing miliknya mati akibat diserang sekumpulan anjing liar.

Azman turut menzahirkan rasa simpati terhadap nasib penternak terbabit dan berharap mangsa tabah menghadapi ujian berkenaan.

“Semoga Cikgu Tuan Fauzi, orang kampung ambe bersabar dengan ujian Allah. Empat ekor kambing beliau jadi mangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/5/2026

- Advertisement -