‘DAP kebal dari diambil tindakan demi jaga kuasa?’

Susulan hanya buka kertas siasatan, bukan tangkapan ‘segera’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketidakseimbangan tindakan penguatkuasaan terhadap pihak tertentu yang dikaitkan dengan isu sensitif melibatkan agama, bangsa dan institusi diraja (3R) semakin membimbangkan.

Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden menegaskan, sekiranya tindakan sama dilakukan pemimpin PAS, berkemungkinan berdepan tindakan termasuk tangkapan segera dan pertuduhan di mahkamah dalam tempoh singkat.

- Advertisement -

“Bayangkan kalau tindakan-tindakan ini dilakukan oleh pemimpin PAS, sudah tentu seawal jam 3 pagi sudah dikutip polis. Jam 9 pagi esoknya sudah didakwa di mahkamah,” katanya Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu.

Beliau berkata demikian apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan hanya membuka kertas siasatan terhadap pemimpin DAP, Tony Pua berhubung hantaran Facebook yang menyentuh isu Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara.

Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dilaporkan menerima 28 laporan polis, dan kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin dan Penasihat Dasar kepada Setiausaha Agung DAP, Tony Pua serta individu berkaitan dilaporkan akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

Walau bagaimanapun, Afnan mempersoalkan perkembangan semasa berhubung tindakan undang-undang yang telah diambil terhadap pihak yang terlibat serta meminta penjelasan lanjut daripada pihak berkuasa.

“Apakah tindakan undang-undang yang telah dikenakan kepada mereka? Mengapakah tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa? Adakah DAP kini menjadi kebal daripada tindakan demi menjaga kuasa yang ada?” soalnya.

Mengulas lanjut, beliau merujuk kepada parti DAP yang menurutnya semakin lantang mengeluarkan kenyataan berkaitan institusi Raja-raja Melayu serta isu sensitif lain.

“Sehari dua ini DAP nampaknya makin biadap terhadap Raja. Titah Raja disanggah mereka. Bahkan dengan bongkaknya mereka mempersoalkan bidang kuasa Raja.

“Dengan nada angkuh, mereka isytihar tidak akan tunduk pada Titah Raja. Hanya akan patuh kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Sejak mereka ada kuasa, sedikit demi sedikit mereka cuba mengubah kepercayaan dan kehidupan kita demi untuk mencapai matlamat politik mereka,” bimbangnya.

Ahli Parlimen Alor Setar itu turut mengaitkan beberapa isu yang menyentuh elemen 3R, termasuk berkaitan agama Islam, hak Bumiputera serta institusi diraja.

“Jika diperhatikan dari dulu hingga kini, semua aspek 3R (Religion, Race, Royal) telah dan sedang dimainkan oleh DAP,” tempelaknya.

Antara perkara kontroversi yang disentuh DAP berkaitan agama Islam jelasnya, termasuk isu pelaksanaan hukum Islam, penguatkuasaan sijil halal, penutupan premis perjudian di Kedah, hidangan arak dalam kapal terbang.

“(Termasuk) Pertahan penjualan arak secara terbuka. Pertahan hidangan arak dalam premis sekolah. Gesa supaya guru Pendidikan Islam di Sabah dan Sarawak dihantar pulang ke Semenanjung.

“(Juga) Pertikai tulisan jawi. Menyindir istilah ‘solat hajat’ dan ‘insya-Allah’ dalam ucapan. Pertahan unsur maksiat dalam Pesta Air di Bukit Bintang juga pertahan penternakan babi di Selangor,” kongsinya.

Selain itu katanya, antara perkara kontroversi disentuh DAP berkaitan bangsa Melayu termasuk isu kuota Bumiputera dalam kemasukan pelajar ke universiti awam, perjuangkan hak kaum bukan Bumiputera supaya setara dengan hak Bumiputera serta perjuangan dan mempertahankan UEC.

Selain itu, beliau turut mengulas isu berkaitan institusi diraja yang disentuh DAP melibatkan titah serta kuasa Raja-raja Melayu, termasuk pandangan terhadap penganugerahan darjah kebesaran

“(Mereka) Menyanggah Titah Tuanku Sultan Selangor dalam isu babi, mempertikai kuasa Tuanku Sultan Selangor, tidak menerima sepenuhnya penganugerahan pingat dan darjah kebesaran kurniaan Raja-raja Melayu. Perlu diluluskan oleh parti terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu, Sultan Selangor menitahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew supaya mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor bagi menghayati makna sebenar Rukun Negara.

Susulan itu, Tony Pua Kiam Wee yang merupakan bekas Ahli Parlimen Damansara, dalam kenyataannya mendakwa, Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan kuasa raja berbeza sedikit mengikut negeri.

“Namun secara umumnya, kuasa raja adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri,” dakwa beliau menerusi hantaran di media sosial miliknya baru-baru ini.

Dalam kenyataannya itu lagi, beliau juga mendakwa, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat.

Beliau juga mendakwa, sebaliknya negara ini mempunyai Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dianggotai wakil rakyat dipilih oleh rakyat untuk membuat undang-undang dan keputusan tersebut.

Tambah beliau, perkara itu selaras sepenuhnya dengan Rukun Negara khususnya prinsip kedua, ketiga dan keempat iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

“Ya, saya setia kepada Raja dan Negara dan akan mematuhi Kedaulatan Undang-undang mengikut Perlembagaan Persekutuan. Bukan titah,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/5/2026

- Advertisement -