YAMCS meterai MoU pendidikan bersama PASTI, Istiqomah

- Advertisement -

SHAH ALAM: Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor memperkukuh peranannya dalam bidang kebajikan, pendidikan dan pembangunan ummah apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama PASTI Negeri Selangor dan Istiqomah Travel & Tour Sdn Bhd.

Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor (YAMCS), Mohd Nizam Idris berkata, kerjasama strategik itu diyakini mampu melahirkan sinergi yang membawa keberkatan, kesejahteraan dan kebahagiaan kepada masyarakat, bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat.

- Advertisement -

Menurut beliau, gabungan kekuatan pihaknya sebagai badan kebajikan, PASTI Negeri Selangor sebagai institusi pendidikan awal Islam dan Istiqomah Travel & Tour Sdn Bhd sebagai rakan korporat yang komited akan membuka lebih banyak ruang kerjasama bermanfaat besar kepada masyarakat.

Mohd Nizam berkata, kerjasama itu diharap dapat memperluaskan pelbagai program pembangunan pendidikan, bantuan kebajikan, sokongan kepada guru dan ibu bapa serta inisiatif lain yang mampu memberi impak positif kepada ummah.

“Semoga jalinan ini menjadi asbab kepada lahirnya lebih banyak program bermanfaat yang menyatukan hati, menyemai kasih sayang dan mengukuhkan ukhuwah Islamiah,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah PASTI Negeri Selangor, Ustaz Muhammad Izwan Baidawi berkata, PASTI telah lama memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi rabbani yang seimbang dari sudut ilmu, akhlak dan sahsiah.

Katanya, MoU bukan sekadar simbolik tanda tangan tetapi lambang kesatuan dan kerjasama dalam memperkukuhkan pendidikan dan kebajikan serta perpaduan ummah.

Beliau berharap kerjasama ini dapat memperkukuh lagi usaha pendidikan berteraskan al-Quran dan sunnah demi melahirkan anak-anak yang soleh, berilmu dan berbakti kepada agama serta negara.

Istiqomah Travel & Tour Sdn Bhd pula diwakili oleh Pengerusinya, Ustaz Abdul Ahad Sabaruddin bersama Sharip Mahfud di mana menyatakan komitmen syarikat untuk menyokong usaha-usaha kebajikan dan pendidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Idris merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan kerjasama ini dan berharap persefahaman dimeterai akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak inisiatif membawa manfaat berpanjangan kepada ummah.

Majlis MoU ini berlangsung dengan penuh mahabbah di pejabat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor, Shah Alam baru- baru ini. – HARAKAHDAILY 20/5/2026

- Advertisement -