
SHAH ALAM: Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San digesa meletakkan jawatan susulan kontroversi membabitkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan yang menyentuh isu berkaitan Institusi Raja Berperlembagaan ketika Persidangan Dewan Negeri baru-baru ini.
Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya menjunjung kasih atas titah Sultan Selangor mengingatkan semua pihak supaya memahami serta menghayati prinsip Rukun Negara khususnya berkaitan kesopanan, kesusilaan dan penghormatan terhadap Institusi Raja Berperlembagaan.
Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor itu, teguran terbuka Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew membuktikan tahap politik yang berlaku ketika ini sudah melampaui batas.
“Lebih mengecewakan, Ronnie Liu masih tergamak mencadangkan agar pengusaha babi mengambil tindakan undang-undang selepas isu ini mendapat perhatian serius Istana Selangor.
“Kenyataan seperti ini jelas menunjukkan sikap angkuh, mencabar sensitiviti rakyat dan langsung tidak memahami semangat Rukun Negara,” katanya.
Beliau berkata, tindakan beberapa pemimpin DAP sebelum ini turut dilihat sering menyinggung institusi diraja dan gagal memahami adab terhadap Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang kestabilan negara.
“Mereka bercakap tentang demokrasi, tetapi gagal memahami adab terhadap Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang kestabilan negara.
“Mereka melaungkan perpaduan, tetapi tindakan dan ucapan mereka berkali kali menyinggung institusi yang menjadi payung kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan ADUN Seri Kembangan tidak sepatutnya membangkitkan semula polemik yang menimbulkan keresahan rakyat ketika Sidang Dewan berlangsung.
Katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Shah Alam wakil rakyat seharusnya membawa solusi dan menjaga keharmonian negeri, bukannya mencetuskan provokasi politik.
Mengulas lanjut, beliau berkata Speaker Dewan Negeri Selangor juga tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab kerana gagal mengambil tindakan tegas dan segera terhadap isu berkenaan.
“Kegagalan beliau mengambil tindakan tegas dan segera terhadap tindakan yang mencetuskan kontroversi ini memperlihatkan kelemahan serius dalam mempertahankan kemuliaan Dewan dan menghormati titah Tuanku Sultan Selangor.
“Justeru, kami menggesa Speaker Dewan Negeri Selangor meletakkan jawatan sebagai tanda bertanggungjawab atas kegagalan beliau mengawal perjalanan sidang dengan penuh wibawa dan mempertahankan kehormatan institusi negeri,” katanya.
Beliau turut menegaskan rakyat Selangor mahukan politik matang, beradab dan menghormati institusi negara, bukannya politik yang mencabar sentimen rakyat serta memperlekehkan Institusi Raja Berperlembagaan.
Terdahulu, menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah semalam, Sultan Selangor menzahirkan teguran keras secara terbuka kepada wakil rakyat negeri itu agar lebih menghayati dan memahami prinsip Rukun Negara yang menjadi asas perpaduan nasional.
Baginda bertitah, teguran itu khusus ditujukan kepada ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew supaya lebih kerap mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di hadapan Tiang Bendera Negeri Selangor.
“Beta menyeru kepada semua wakil rakyat negeri ini untuk datang sendiri ke Dataran Selangor ini setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen ini.
“Khusus ditujukan kepada Siew Ki dan Ronnie Liu, Beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk faham dan hayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 20/5/2026











