
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mengenai Rukun Negara disifatkan sebagai teguran paling jelas terhadap sikap pemimpin DAP yang semakin lantang menyentuh perkara berkaitan Institusi Diraja dan asas kenegaraan.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, penegasan Sultan Selangor secara khusus terhadap pemimpin DAP dalam kenyataan rasmi Istana membuktikan isu tersebut bukan lagi sekadar perbezaan pandangan politik.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, perkara itu telah menyentuh soal adab, penghormatan terhadap Institusi Raja serta batas dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
“Teguran ini keras, tetapi lahir daripada tanggungjawab seorang Sultan yang mahu mempertahankan keharmonian negeri dan perpaduan rakyat. Ini menunjukkan bahawa soal menghormati Institusi Raja dan memahami asas kenegaraan tidak boleh dipandang ringan oleh mana mana pihak,” ujarnya.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi kenyataan media bertarikh 19 Mei 2026 bertitah memaklumkan Baginda telah berangkat ke Dataran Selangor bagi melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara yang dibina oleh Jabatan Kerja Raya Selangor.
Baginda bertitah pembinaan plak berkenaan bertujuan mengimbas kembali sejarah kelahiran Rukun Negara selepas tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 sebagai asas pengukuhan perpaduan rakyat negara ini.
Sultan Sharafuddin yang membiayai sendiri kos pembinaan plak itu turut menyeru rakyat khususnya generasi muda supaya membaca, memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara sebagai teras perpaduan nasional.
Selain itu, baginda bertitah menyeru semua Ahli Dewan Negeri Selangor hadir ke Dataran Selangor sekurang kurangnya dua kali sebulan untuk membaca serta memahami makna Rukun Negara.
Dalam kenyataan sama, Baginda turut menitahkan wakil rakyat Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew supaya hadir setiap minggu ke Dataran Selangor bagi memahami serta menghayati makna sebenar Rukun Negara.
Mengulas perkara itu, Ahmad Yunus berkata, titah seruan Sultan Selangor supaya pemimpin tertentu hadir membaca Rukun Negara setiap minggu membawa mesej yang sangat mendalam.
“Rukun Negara bukan slogan hiasan, tetapi prinsip yang wajib difahami dan dihayati semua pihak termasuk pemimpin politik sendiri. Sultan menyeru mereka datang membaca dan memahami Rukun Negara setiap minggu.
“Itu sebenarnya sindiran yang sangat pedas terhadap sikap sesetengah pihak yang lantang bercakap soal demokrasi, tetapi gagal menjaga adab terhadap Institusi Raja dan sensitiviti rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata, perbezaan pandangan politik adalah perkara biasa dalam demokrasi, namun tindakan menyentuh asas kesopanan serta kedaulatan negeri tidak boleh dipandang ringan oleh rakyat. – HARAKAHDAILY 20/5/2026











