Pastikan kebajikan mangsa kebakaran terus terbela

- Advertisement -

SANDAKAN: “Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan segera dan menyeluruh bagi memastikan kebajikan semua mangsa kebakaran di Kampung Bahagia di sini terus terbela,” kata Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

- Advertisement -

Tambahnya, tindakan tersebut hendaklah meliputi aspek kesihatan, penempatan dan bantuan asas harian.

Beliau menyatakan demikian dalam Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma Kepada Mangsa Kebakaran Kampung Bahagia yang berlangsung pada 17 hingga 18 Mei lalu.

Program berkenaan dianjurkan sebagai usaha memberikan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma kepada mangsa-mangsa kebakaran yang masih berdepan kesan trauma dan kesulitan selepas tragedi tersebut.

Turut hadir menjayakan program itu ialah Ketua Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid, Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Norsah Bongsu, Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS negeri, Nafisah Abdul Aziz dan Pengarah Operasi Bencana Khidmat Malaysia negeri, Tarmizi Yahya.

Menurut Nuridah, pemeriksaan kesihatan itu bukan sahaja bertujuan untuk memantau tahap kesihatan mangsa, malah menjadi medium mendekati masyarakat yang sedang diuji dengan musibah besar.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan para mangsa supaya terus bersabar menghadapi ujian hidup terutama sempena kedatangan bulan Zulhijah yang sarat dengan pengajaran tentang pengorbanan dan ketabahan.

Dalam program yang sama juga, turut disampaikan barangan keperluan asas bagi menjayakan misi dapur rakyat oleh Sahar kepada wakil penduduk.

Program itu turut memperlihatkan semangat kebersamaan pelbagai pihak dalam membantu mangsa kebakaran selain menjadi lambang solidariti masyarakat terhadap nasib penduduk Kampung Bahagia yang masih memerlukan perhatian berterusan.

Penduduk kampung pula meluahkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan pelbagai pihak khususnya Khidmat Malaysia serta NGO yang tidak putus-putus menyalurkan bantuan makanan dan khidmat pemeriksaan kesihatan kepada mereka.

Salmah Jusin, 54, berkata kehadiran sukarelawan dan petugas kesihatan sedikit sebanyak memberikan semangat baharu kepada mangsa untuk meneruskan kehidupan selepas kehilangan tempat tinggal. – HARAKAHDAILY 20/5/2026

- Advertisement -