Gangguan bekalan air di musim perayaan ditangani

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri terus mengambil langkah segera bagi menangani gangguan bekalan air di beberapa kawasan terutama ketika sambutan Aidiladha termasuk menggunakan lori tangki air serta menambah tong simpanan air di kampung-kampung terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, kerajaan negeri menyedari terdapat beberapa kawasan masih berdepan masalah kekurangan bekalan air berikutan kapasiti pengagihan yang belum mencukupi.

- Advertisement -

Menurut beliau, pihak kerajaan bersama Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) telah membuat persiapan awal menjelang musim perayaan, namun terdapat kawasan tertentu yang masih mengalami gangguan bekalan.

“Kita cuba sebaik mungkin untuk mengagihkan air kepada rumah-rumah pengguna, tetapi ada kawasan yang memang tiada lebihan bekalan air.

“Jadi hasil aduan rakyat kita buat keputusan segera termasuk bergantung kepada lori air untuk menghantar bekalan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat exco dwi-mingguan di Mabna, Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Izana menyatakan bahawa beberapa kampung yang sebelum ini mengalami masalah bekalan kini mula menerima air semula.

Tambahnya, kerajaan negeri juga bersedia meningkatkan jumlah penghantaran air termasuk menambah kapasiti tong air di kawasan terjejas bagi memastikan penduduk mempunyai akses kepada bekalan asas.

“Kalau sekarang sehari dua tong, kita akan tambah lagi supaya sekurang-kurangnya pengguna ada akses air,” katanya.

Menurutnya lagi, usaha penambahbaikan sistem bekalan air negeri sedang dilaksanakan secara berperingkat termasuk pembinaan tangki dan peningkatan kapasiti loji rawatan air yang dijangka siap sepenuhnya sekitar 2028 hingga 2030.

Katanya, sasaran kerajaan negeri adalah memastikan bekalan air bersih mencukupi menjelang 2030 dengan kapasiti pengeluaran sehingga 880 juta liter sehari.

“Pada masa itu, pengeluaran air akan melebihi penggunaan semasa rakyat,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa buat masa ini negeri masih berdepan isu kuantiti pengagihan air yang belum mencukupi selain kadar air tidak berhasil (NRW) yang masih tinggi.

Sehubungan itu katanya, penggunaan lori tangki air serta penyediaan tong air di kampung-kampung kekal menjadi langkah alternatif sementara bagi membantu rakyat.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menjelaskan proses penukaran paip lama tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Menurutnya, pihak berkuasa hanya meluluskan penukaran kira-kira 150 kilometer paip setahun walaupun masih terdapat lebih 3,000 kilometer paip lama yang perlu diganti bagi mengurangkan NRW.

“Kuasa meluluskan perkara itu bukan berada di negeri atau AKSB semata-mata, tetapi tertakluk kepada SPAN,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/5/2026l

- Advertisement -