Kadar jenayah di Kelantan masih rendah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Negeri Kelantan masih mencatat kadar jenayah indeks yang rendah berbanding negeri lain walaupun berlaku peningkatan kes pembunuhan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, keadaan itu menunjukkan pendekatan negeri berteraskan agama masih memberi kesan positif terhadap kawalan jenayah.

- Advertisement -

Menurutnya, kerajaan negeri bagaimanapun memandang serius peningkatan kes pembunuhan yang dilaporkan pihak polis baru-baru ini.

“Kelantan adalah negeri beragama, sebab itu kadar jenayah kita masih rendah berbanding negeri lain, tetapi peningkatan seperti disebut pihak polis memang mendukacitakan,” katanya kepada media di sini hari ini selepas mesyuarat exco.

Menurut Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan polis dan agensi keselamatan bagi membendung jenayah daripada terus meningkat.

Tambahnya, pendekatan agama serta kesedaran masyarakat juga akan diperkasakan melalui pelbagai agensi kerajaan.

“Kerajaan menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, pemimpin masyarakat dan agensi berkaitan supaya bersama-sama membanteras jenayah,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas usaha berterusan menjaga keselamatan negeri. 

Sebelum ini Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata sebanyak lima kes jenayah bunuh direkodkan setakat ini berbanding hanya satu kes pada tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan itu berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Kelantan bagi Mei 2026. – HARAKAHDAILY 20/5/2026

- Advertisement -