Premis perniagaan ditutup hari pertama Aidiladha

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menetapkan kompleks membeli-belah, pasar raya dan pasar raya besar ditutup sepenuhnya pada hari pertama Hari Raya Aidiladha sebagaimana dilaksanakan ketika Aidilfitri sebelum ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, keputusan tersebut dibuat bagi memberi laluan kepada pekerja menunaikan solat sunat Aidiladha serta melaksanakan ibadah korban.

- Advertisement -

Menurutnya, premis makanan segera dan kedai serbaneka seperti 7-Eleven, Mydin, Family Mart dan premis seumpamanya pula hanya dibenarkan beroperasi selepas jam 1.30 tengah hari pada hari pertama Aidiladha.

“Keputusan ini sama seperti yang telah diputuskan sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco di Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Menurutnya, ia adalah bagi memberikan laluan kepada pekerja-pekerja untuk menunaikan solat Aidiladha dan juga mungkin melakukan ibadah korban.

“Langkah tersebut juga sebagai usaha memastikan kebajikan pekerja sektor perniagaan terus diberi perhatian khususnya pada sambutan hari kebesaran Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/5/2026

- Advertisement -