Pemuda PAS gerak laporan polis gesa siasat Tony Pua

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia akan menggerakkan laporan polis secara besar-besaran di seluruh negara terhadap bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua susulan kenyataannya telah mempertikai kedudukan serta kewibawaan Institusi Raja-Raja Melayu khususnya Sultan Selangor.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, tindakan itu diambil kerana kenyataan Tony Pua disifatkan biadab dan melampau serta dilihat merendah-rendahkan Institusi Diraja yang menjadi tunjang kestabilan, perpaduan dan kedaulatan negara.

Menurutnya, walaupun Sultan Selangor telah secara jelas menyebut nama Wong Siew Ki dan Ronnie Liu Tian Khiew supaya menghormati prinsip Rukun Negara serta menjunjung institusi Raja-Raja Melayu, namun kenyataan Tony Pua dilihat bertentangan dengan titah tersebut.

“Pemuda PAS Malaysia tidak akan sesekali berdiam diri terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat, memperkecil atau mencemarkan kemuliaan Institusi Raja-Raja Melayu demi kepentingan politik sempit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Pemuda PAS tetap teguh mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung negara dan lambang kedaulatan Perlembagaan.

Semalam, Tony Pua dilaporkan berkata, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan perlembagaan termasuk pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem yang membolehkan raja mengeluarkan titah mengikat bagi menggubal semua aspek kehidupan rakyat.

Terdahulu, Sultan bertitah supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew hadir ke Dataran Selangor sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Ia titah baginda, supaya mereka memahami dan menghayati makna Rukun Negara kerana perkara itu penting supaya menjadi rakyat yang menghormati kedaulatan Institusi Raja serta menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.

Dalam masa sama, baginda turut menyeru semua wakil rakyat Selangor hadir sendiri ke Dataran Selangor sekurang kurangnya dua kali sebulan untuk membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada plak monumen di kawasan berkenaan. – HARAKAHDAILY 20/5/2026

- Advertisement -