Pelan rangsangan ekonomi tangani kesan krisis global

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu melaksanakan Pelan Tindakan Rangsangan Ekonomi Negeri Terengganu Fasa 1 sebagai langkah proaktif menangani kesan ketidaktentuan ekonomi susulan krisis Asia Barat melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan sekutunya.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, konflik berkenaan memberi kesan besar kepada ekonomi negara khususnya melalui peningkatan kos bahan api, logistik dan insurans sehingga menyebabkan pengeluar serta peniaga menaikkan harga barang bagi menampung kos operasi.

Katanya, keadaan itu dijangka memberi kesan lebih ketara dalam tempoh beberapa bulan akan datang apabila peningkatan kos terus mempengaruhi rantaian bekalan dan harga pasaran.

“Bagi menangani krisis ini dan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negeri, kerajaan bersetuju melaksanakan beberapa inisiatif yang memberi tumpuan kepada kelangsungan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta aktiviti pengeluaran padi,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut beliau, antara langkah yang dipersetujui ialah penilaian semula Jadual Kadar Harga (JKH) bagi bahan binaan terpilih selain penyelarasan kos kontrak berdasarkan perubahan kos semasa.

“Kerajaan negeri juga akan memberi penumpuan kepada pelaksanaan projek kecil berimpak tinggi dan mudah dilaksanakan bagi merangsang aktiviti ekonomi setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, kerajaan negeri turut bersetuju memberikan moratorium selama tujuh bulan bermula Jun hingga Disember 2026 kepada peminjam di bawah Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS).

Katanya, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 783 peminjam membabitkan nilai pinjaman tidak dikutip sebanyak RM2.1 juta.

“Selain itu, kerajaan negeri turut bersetuju untuk menambah saiz dana sebanyak RM2 juta pada tahun 2026 agar lebih ramai usahawan dapat dibantu,” katanya.

Beliau berkata, moratorium turut diberikan kepada peminjam di bawah Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) bermula Mei 2026 hingga April 2027 melibatkan kira-kira 400 peminjam dengan nilai pinjaman tidak dikutip berjumlah RM2.9 juta.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri memperkenalkan insentif kepada pesawah sebanyak RM100 bagi setiap tan metrik pengeluaran padi dengan kadar maksimum RM1,000 seorang untuk pengeluaran melebihi 10 tan metrik.

“Insentif ini dijangka akan memberikan manfaat kepada 4,513 orang pesawah dengan jumlah peruntukan RM3 juta,” katanya.

Menurut beliau, Belanjawan 2026 juga akan diselaraskan semula berdasarkan keperluan dan strategi lebih bersasar ke arah pengukuhan ekonomi negeri.

“Diharapkan inisiatif ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh pemain-pemain dalam sektor-sektor terlibat.

“Kerajaan negeri akan terus berusaha untuk
memastikan keseluruhan rakyat terus dibantu dan keadaan ekonomi kembali pulih kelak,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/5/2026

- Advertisement -