Kita sudah menang semenjak 1986 – Dr Aliakbar

Datuk Dr Aliakbar Gulasan
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Datuk Dr Aliakbar Gulasan menegaskan perjuangan PAS di Sabah sebenarnya telah mencapai kemenangan sejak awal penubuhannya pada 1986, meskipun ketika itu parti tersebut belum memiliki wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN).

- Advertisement -

Menurut Pesuruhjaya PAS Sabah itu, kemenangan sebenar bagi sebuah gerakan Islam bukan hanya diukur melalui kerusi pilihan raya, sebaliknya melalui kejayaan membawa risalah perjuangan Islam ke bumi Sabah yang mempunyai cabaran politik dan masyarakat tersendiri.

“Kita sebenarnya sudah menang semenjak tahun 1986. Kita sebagai pejuang Islam jangan ingat kita menang tahun 2025. Jemaah kita sudah lahir tahun 1986, kita sudah menang.

“Kita masuk dalam satu wilayah yang budayanya luar biasa dan membawa rantaian perjuangan Rasulullah SAW di kawasan yang sukar, sebenarnya itu sudah satu kemenangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 PAS Sabah di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Karambunai, di sini, malam tadi.

Dr Aliakbar yang juga ADUN Karambunai berkata, kemenangan Perikatan Nasional (PN) di DUN Karambunai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025 merupakan hasil daripada kesinambungan perjuangan dakwah dan siyasah yang telah dibina sejak sekian lama di negeri itu.

Katanya, walaupun PAS pernah bertanding di beberapa kawasan seperti Kota Belud dan Tawau tanpa memenangi kerusi, perjuangan tersebut tetap dianggap berjaya kerana membawa panji Islam dan memperkenalkan perjuangan PAS kepada masyarakat Sabah.

Dalam pada itu, beliau turut mengimbau perjalanan politik PAS bersama pelbagai gabungan politik termasuk Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat serta Perikatan Nasional yang banyak memberi pengalaman kepada PAS Sabah.

Menurutnya, PAS Sabah juga memainkan peranan penting dalam mempertahankan kepimpinan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika krisis dalaman parti pada tahun 2015.

“Sabah menjadi antara penyumbang kepada kesinambungan kepimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS sehingga hari ini.

“Maknanya, Sabah bukan sekadar penting pada parti, tetapi turut menjadi antara tonggak kepada kepimpinan ulama dalam PAS,” ujarnya.

Beliau berkata, pengalaman pahit yang dilalui PAS Sabah termasuk tidak diberikan peluang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah 2020 menjadi titik kebangkitan yang akhirnya membawa kemenangan di Karambunai lima tahun kemudian.

Katanya, kehadiran Presiden PAS ketika penamaan calon DUN Karambunai pada PRN Sabah tahun lepas memberi suntikan semangat besar kepada jentera parti untuk menghadiahkan kemenangan kepada PAS di Sabah.

“Menang Alhamdulillah, kita bertakbir beramai-ramai tanda satu kerusi daripada Sabah. Tetapi adakah kita puas hati dengan satu kerusi DUN? Pasti tidak.

“Misi kita dalam konteks siyasah sebenarnya baru bermula. Kemenangan Karambunai mesti dipertahankan dan kita mahu menambah kemenangan di beberapa kerusi DUN serta menyumbang kerusi Parlimen kepada PAS Pusat,” katanya lagi.

Tambah beliau, PAS Sabah kini meletakkan sasaran untuk memperkukuh gerak kerja parti di seluruh negeri sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

“Daripada 60 sasaran kerusi Parlimen PAS Pusat, kita berazam sekurang-kurangnya satu akan datang dari Sabah, insya-Allah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 20/5/2026

- Advertisement -