Kedaulatan Raja wajib dipertahan, Tony Pua dikecam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PUTRA, Datuk Dr Ibrahim Ali menyifatkan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua sebagai bertindak biadab dan kurang ajar terhadap Institusi Raja Melayu susulan reaksi kenyataannya terhadap titah Sultan Selangor.

Beliau berkata, Tony Pua berselindung di sebalik istilah ‘Raja Berperlembagaan’ untuk memperlekehkan titah Sultan kerana tindakan itu disifatkan sebagai manipulasi politik yang cuba mengaburkan batas adab dalam sistem kenegaraan negara ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, walaupun kuasa Raja mempunyai had dalam kerangka ‘constitutional monarchy‘, kedudukan Raja sebagai payung kedaulatan negara dan ‘moral authority’ tidak pernah terhapus.

“Jangan berlindung di sebalik istilah Raja Berperlembagaan untuk memperlekeh titah Sultan. Itu bukan hujah undang-undang tetapi manipulasi yang cuba mengaburkan batas adab di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung,” katanya.

Ibrahim selaku juga Penyelaras Sekretariat Rakyat Bertindak berkata, kenyataan Tony Pua melabel titah Sultan sebagai ‘bukan decree’ bukan sekadar hujah undang-undang, sebaliknya dilihat merendahkan ‘constitutional convention‘ yang menjadi tunjang kestabilan negara.

Katanya, dalam tradisi dan adat Melayu, titah Raja tetap dihormati walaupun tidak berbentuk undang-undang eksekutif kerana Perlembagaan bukan sekadar teks, tetapi ia hidup bersama adat, tradisi dan Rukun Negara.

“Kesetiaan kepada Raja dan Negara bukan slogan tetapi asas yang mengikat sistem,” katanya membidas Tony Pua gagal membezakan antara ‘legal power‘ dan legitimasi Institusi Raja.

Beliau berkata, walaupun Raja mungkin tidak bertindak secara eksekutif, kedudukan Raja sebagai simbol kedaulatan tidak boleh diperkecilkan melalui permainan istilah.

“Raja tetap Raja bersama daulatnya,” tegas Datuk Dr Ibrahim yang dalam masa sama menyifatkan kenyataan Tony merupakan usaha menormalisasikan sikap sinis terhadap institusi Raja yang boleh membawa kepada hakisan rasa hormat terhadap asas negara.

Menurutnya, perkara itu juga dilihat sebagai agenda halus untuk menafikan ketuanan Melayu di bawah payung Raja yang berdaulat dan isu berkenaan bukan soal kebebasan bersuara, tetapi melibatkan tanggungjawab dalam kerangka Perlembagaan negara.

“Kebebasan tanpa adab adalah pintu kepada keruntuhan institusi. Budaya Melayu biar mati mak jangan mati adat. Kerja Raja dijunjung, kerja rakyat dikelek. Ini adalah adat tanpa undang-undang amalan umat Melayu Islam turun-temurun.

“Semua pihak perlu menghayati sejarah jika mahu tinggal dan berpijak di bumi Malaysia yang dahulunya Persekutuan Tanah Melayu, berasal daripada negeri-negeri pemerintahan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau turut memberi amaran keras supaya Perlembagaan tidak dijadikan alasan untuk bersikap biadab terhadap Institusi Raja kerana undang-undang, adat dan kedaulatan Raja bergerak seiring dalam sistem negara.

“Sebarang usaha memisahkannya disifatkan mencabar asas negara itu sendiri. Cukup! Jangan uji kesabaran orang Melayu yang taat kepada Raja. Titah adalah kerja Raja yang mesti disempurnakan.

“Menjunjung kasih dan rakyat umat Melayu-Islam tetap mempertahankan kedaulatan institusi Raja tanpa kompromi, membujur lalu melintang patah,” katanya lagi.

Sultan Selangor menitahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew supaya mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor bagi menghayati makna sebenar Rukun Negara.

Susulan itu, Tony melalui hantaran di media sosial miliknya menyatakan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa Raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu.

Beliau mengkhususnya kepada adat Melayu, Islam serta fungsi Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu juga berkata, negara ini mempunyai Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dianggotai wakil rakyat dipilih oleh rakyat untuk membuat undang-undang dan keputusan tersebut.

Tambah beliau, perkara itu selaras sepenuhnya dengan Rukun Negara khususnya prinsip kedua, ketiga dan keempat iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

Namun banyak pihak melihat hujahnya itu di luar kewajaran dan bersifat menyanggah titah Sultan Selangor sekali gus meremeh dan merendahkan kewibawaan serta kuasa Institusi Diraja. – HARAKAHDAILY 20/5/2026

- Advertisement -