
APABILA majoriti rakyat Malaysia rata-rata menyatakan bantahan terhadap Pesta Rain Rave yang berlangsung selama 3 hari berturut-turut dengan penutupan jalan di sekitar Bukit Bintang beberapa minggu lepas, atas seribu satu alasan, mereka ditempelak supaya jangan datang!
Jawapan acuh tidak acuh, malah dilihat kurang sensitif itu dibuat oleh tidak lain dan tidak bukan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya sendiri. Malah video viral basah kuyup beliau, sedang bermain air, kelihatan sangat gembira dan bahagia sekali!
Natijahnya hujah dan naratif berasas bahawa ianya bukan budaya tempatan yang perlu dibudayakan, ianya membazir air, malah Malaysia juga sebulan sebelum itu dilanda empangan kering dek panas terik dan kemarau. Ditambah pula dengan dapatan bahawa tidak semua pelancong yang datang dahagakan sebuah pesta fengtau ‘cucuk langit’, malah jauh berlawanan dengan nilai-nilai Islam, Agama bagi Persekutuan Malaysia, tidak diendahkan.
Di suku akhir pemerintahan, Madani sepatutnya cuba sehabis baik untuk tidak dilihat bebal!
Sebelum itu pula dalam satu majlis ketika menepis kritikan umum seorang pemimpin tertinggi Madani, membalas “I don’t care!”. Mungkinkah Madani juga tidak peduli dan kisah dengan getar nadi rakyat?
Tentunya seluruh kepimpinan utama Kabinet Malaysia bertanggungjawab terhadap semua 34.4 juta rakyat. Satu negara menaruh harapan terhadap pentadbiran yang peduli rakyat.
Jadi apabila jawapan yang diberikan sekadar sebuah kenyataan defensif “Aku tak kisah!” bukan saja buruk untuk optik malah memberikan gambaran seolah-olah sudah mengaku kalah kerana akhirnya sedar bahawa bukan mudah untuk mentadbir negara majmuk seperti Malaysia.
Jadi jika ada yang berpandangan bahawa Madani tidak betah memimpin, tidak mampu memegang tampuk pentadbiran negara, maka bolehkah kerajaan menyalahkan mereka?
Madani di hujung usia bukan sahaja dilihat tidak mampu mentadbir sehabis baik, namun dilihat sombong, acapkali membelakangkan keluhan dan teguran yang diberikan rakyat jelata.
Mungkin ianya persepsi semata, namun bukankah tugas kerajaan juga untuk dilihat sebagai tidak sombong dan bebal?
Contohnya ketika rakyat menolak kepemimpinan Azam Baki yang terpalit dengan seribu satu tuduhan dan kontroversi daripada isu saham peribadi, isu Albert Tei, tuduhan pecah amanah oleh Victor Chin terkait Mafia korporat dan pelbagai isu lain, kerajaan dilihat mempertahankan beliau sehingga ke titisan darah yang terakhir, malah masih memperbaharui kontrak beliau sebanyak tiga kali.
Mungkinkah jika tiada demo turun ke jalanan Kuala Lumpur mahu Azam Baki diberhentikan malah didakwa, Madani masih mahu Azam Baki untuk berkhidmat?
Sikap tidak peduli ini juga terserlah apabila kerajaan bertegas mahu meneruskan keputusan menjual Malaysia Airport Holdings Berhad kepada sebuah konsortium terkait BlackRock pendokong Israel, yang setakat hari ini telah menculik belasan orang rakyat Malaysia yang berkempen Global Sumud Flotilla ke Gaza, Palestin.
Malah Madani juga jauh lebih awal dilaporkan telah mengenakan larangan penggunaan perkataan “..kafir, Zionis dan Yahudi di Dewan Rakyat”.
Cara kes kematian adik Zara juga dilihat gagal diuruskan kerajaan dengan baik sedari mula malah bukan sedikit kenyataan ‘tone-deaf’ yang dibuat pemimpin-pemimpin Madani sehingga melihat kepada ribuan rakyat marah lalu turun ke jalan bukan saja di Borneo malah di Persekutuan Tanah Melayu.
Namun bukan semua pengkritik kerajaan dilayan dengan hati terbuka kepimpinan Madani yang sebelum ke Putrajaya, berkempen puluhan tahun atas platform reformis, dengan mengutamakan hak asasi dan kebebasan bersuara. Namun itu semua seperti banyak janji-janji reformasi yang lain, dimungkiri juga sehinggakan ramai yang sudah mula meletakkan label gagal terhadap mereka.
Malah apa yang terjadi kini dikatakan jauh lebih buruk daripada sebelumnya, sehinggakan pengkritik kerajaan kini dilaporkan ditangkap tidak kira waktu, malah ada yang mendakwa mendapat surat-surat ugutan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia). Ada pula direman berhari-hari walaupun peguam mereka berpandangan tiada keperluan, malah ada yang didenda puluhan ribu dek sebuah “Akta Sakit Hati’ SKMM seperti yang dilabel oleh YB Muar ketika membahas membantah penggubalan akta tersebut.
Pendekatan menekan dan menganiaya orang biasa telah dikongsikan oleh aktivis peguam Rafique Rashid. Ramai yang lain pula akaun medsos disekat, ditutup atau dihilangkan berkali-kali.
Itu belum lagi dengan penarikan semula ‘sedekah kerajaan’ diawal pentadbiran Madani sehinggakan kos sara hidup meningkat dan menekan ekonomi semua lapisan rakyat di Malaysia. Rakyat Malaysia yang rata-rata dibayar gaji rendah, oleh majikan, antara yang paling kedekut dunia seperti yang didedahkan dengan dapatan Khazanah Research Institute (KRI), dihimpit juga dengan dasar cukai SST Madani yang berlipat kali ganda.
Kemuncak kepada itu melihat harga bahan api mencanak naik, tertinggi dalam sejarah negara. Terkini bukan saja kumpulan M40 dikatakan semakin terdesak dengan komitmen sedia ada, kumpulan T20 Malaysia juga katanya ada yang hidup ‘paycheck to paycheck’ seperti yang diperakui kepimpinan blok Madani sendiri.
Persoalannya dimanakah limpahan kemakmuran ekonomi dengan kemasukan pelaburan asing seperti yang diuar-uarkan kerajaan sehinggakan kerajaan mengaku terpaksa memotong perbelanjaan asas yang melibatkan masa depan pendidikan tinggi anak-anak Malaysia malah kualiti kesihatan dan keselamatan nyawa rakyat?
Itu belum lagi dengan kontroversi melibatkan isu kehakiman dan perundangan sehinggakan ratusan ahli Majlis Peguam berarak menyatakan bantahan di Putrajaya? Jauh lebih awal pula ratusan orang awam berkumpul di perkarangan Istana Kehakiman membantah komplot menyembunyikan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16.
Terbaru isu saluran UEC (United Examination Certificate) yang dikritik ramai khasnya kumpulan pendidik sebagai bukan saja telah melanggar Dasar Pendidikan Nasional malah bersikap tidak adil kepada anak-anak Malaysia yang berada dalam sistem pendidikan nasional. Ada juga yang melihat pendekatan tersebut sebuah malapetaka dan bakal membuka jurang perkauman jauh lebih besar,
‘Pemaksaan’ itu dilihat dibuat secara tiba-tiba mungkin setelah melihat usaha yang dilakukan melalui URA (Urban Renewal Act) ditolak keras majoriti rakyat Malaysia sehingga terpaksa disimpan dulu.
Rakyat sememangnya kecewa dan kekecewaan yang dirasakan mereka sepanjang tiga tahun pemerintahan Madani semakin memburuk. Sentimen yang sama dikongsikan penyokong tegar mereka sendiri.
Mungkin kekecewaan itulah yang cuba disampaikan apabila sekumpulan barisan kepimpinan anak muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diterajui pemimpin nombor satu Malaysia sendiri, memilih untuk meletak jawatan kerana mengaku telah hilang kepercayaan kepada aspirasi perjuangan parti dan pucuk kepimpinan utama.
Dan ianya tidak terhenti di situ, dua hari lepas dua orang pemimpin kanan PKR yang mempunyai pengaruh besar memilih untuk keluar parti dan meletakkan jawatan wakil rakyat yang disandang mereka dan menubuh parti baharu kerana parti lama dikatakan menipu!
Mungkin itulah sentimen yang dirasakan ramai apabila melihat gelagat ‘Cikgu’ dan ‘Anak Murid‘ meraikan kejayaan pakatan gelap mereka ke tampuk pemerintahan?!
HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan, Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) & Penulis Buku Esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’











