
TEMERLOH: Sukan menjadi platform terbaik untuk melahirkan generasi muda yang aktif, berdisiplin dan berdaya saing, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Hassanuddin Salim.
Di samping itu, ujarnya acara sukan seperti bola sepak dapat menyatukan masyarakat dan memupuk gaya hidup sihat.
Beliau menyatakan demikian sempena perlawanan akhir Kejohanan Liga Kubang Gajah 4 Corner Showdown Piala Ahli Parlimen Temerloh dan ADUN Kuala Semantan yang berlangsung dengan penuh meriah di Padang Bola Kampung Bangau Tanjung, petang semalam.
Perlawanan akhir yang cukup sengit dan mendebarkan itu menyaksikan pasukan Bliss 7 FC berjaya muncul juara selepas menewaskan DACS Temerloh FC 2-0.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Bliss 7 FC dan syabas kepada DACS Temerloh FC yang telah memberikan saingan hebat sehingga wisel penamat.
Katanya, kedua-dua pasukan mempamerkan semangat juang, disiplin serta semangat kesukanan yang tinggi sepanjang perlawanan berlangsung.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih juga kepada semua pasukan yang telah mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini,” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosialnya.
Menurutnya lagi, kehadiran dan komitmen semua pihak telah menjadikan liga itu berlangsung dengan penuh semangat perpaduan, ukhuwah dan semangat anak muda yang positif.
Beliau juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kubang Gajah Football Club atas kerjasama serta komitmen dalam menjayakan penganjuran kejohanan itu dengan begitu baik dan teratur.
“Semoga usaha seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang demi mencungkil bakat-bakat baharu serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat,” ujarnya yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh.
Penyampaian piala dan hadiah telah disempurnakan sejurus tamat perlawanan oleh beliau bersama Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor. – HARAKAHDAILY 18/5/2026











