
KOTA BHARU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas kekal tidak dikosongkan meskipun penyandangnya telah dipecat daripada parti politik yang diwakili.
Speaker DUN Kelantan, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Dato’ Mohamed Farid Mohamed Zawawi sebagai wakil rakyat masih sah kerana pemecatan parti tidak menyebabkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri.
Menurutnya situasi tersebut berbeza dengan kes DUN Nenggiri sebelum ini yang menyaksikan kerusi berkenaan dikosongkan sehingga membawa kepada pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK).
“Situasi Mohamed Farid, dia dipecat oleh parti sebagaimana kes Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
“Jadi, mengikut perlembagaan, kerusi mereka kekal milik ADUN berkenaan kerana mereka dipecat,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Beliau berkata, keadaan itu berbeza dengan DUN Nenggiri apabila berlaku kekosongan kerusi selepas keahlian gugur akibat tindakan menyokong parti lain.
Katanya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang makluman rasmi daripada BERSATU berhubung pemecatan tersebut dan hanya mengetahui perkara itu melalui laporan media.
“Setakat ini kita hanya mengetahui melalui laporan media.
“Ini kerana jika BERSATU memaklumkan pun, jawatannya sebagai ADUN tetap kekal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan jawatan Timbalan Speaker yang disandang Mohamed Farid terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Pejabat Speaker tidak campur tangan dan keputusan itu bergantung kepada kerajaan negeri,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan Mohamed Farid dipecat keahlian BERSATU berkuat kuasa 11 Mei lalu kerana didakwa melanggar peraturan parti.
Beliau bagaimanapun masih boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti dalam tempoh 14 hari. – HARAKAHDAILY 18/5/2026











