
GUA MUSANG: Kesesakan lalu lintas dijangka meningkat di daerah ini berikutan cuti penggal persekolahan bermula 22 Mei hingga 7 Jun serta sambutan Aidil Adha yang jatuh pada 27 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, Gua Musang akan menjadi laluan utama kemasukan kenderaan dari Lembah Klang, Pahang dan negeri-negeri selatan menuju Kelantan.
Menurutnya laluan FT8 Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) atau Central Spine Road (CSR) dijangka menjadi ‘funnel point’ serta titik kesesakan utama atau ‘bottle neck’ kepada aliran trafik.
“Sempena cuti penggal persekolahan yang akan bermula pada 22 Mei hingga 7 Jun dan ditambah dengan Hari Raya Aidil Adha yang jatuh pada 27 Mei ini, dijangka banyak kenderaan akan masuk ke Gua Musang.
“Seluruh kenderaan dari Lembah Klang, Pahang dan negeri-negeri di bahagian selatan Malaysia dijangka serentak masuk ke Kelantan melalui Gua Musang,” katanya satu menerusi kenyataan.
Beliau berkata, satu Mesyuarat Koordinasi Pengurusan Kesesakan Lalu Lintas Sempena Aidil Adha telah diadakan bersama PDRM, JPJ, JKR, pihak CSR, Majlis Daerah Gua Musang serta agensi berkaitan.
Katanya, mesyuarat itu bertujuan merangka langkah awal bagi mengurangkan kesesakan berdasarkan pengalaman pengurusan trafik pada Aidilfitri sebelum ini.
“Berikutan itu, saya telah mengambil langkah awal dengan mengadakan mesyuarat koordinasi bersama agensi terlibat bagi merancang penyuraian trafik dan langkah mitigasi,” katanya.
Beliau berkata, pengguna jalan raya turut dinasihatkan merancang perjalanan dengan baik dan mengelakkan waktu puncak bagi mengurangkan kesesakan terutama di kawasan hotspot seperti Kampung Mentara.
Katanya, orang ramai digalakkan bertolak pada waktu luar puncak seperti selepas tengah malam atau awal pagi sebelum Subuh.
Selain itu, beliau turut mencadangkan pengguna memilih laluan alternatif seperti LPT2, Lebuhraya Timur-Barat atau laluan Lojing Highland bagi mengurangkan kesesakan di Gua Musang.
“Pengguna jalan raya juga digalakkan menggunakan jalan alternatif seperti Gua Musang-Dabong-Jeli bagi mengelakkan trafik beku dalam bandar Gua Musang.
“Kenderaan tempatan juga tidak digalakkan keluar pada waktu puncak antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat atas kerjasama dalam pengurusan trafik musim perayaan itu serta menasihatkan pengguna agar memandu dengan berhemah. – HARAKAHDAILY 18/5/2026











