
LOS ANGELES: Dua jet tempur EA-18 Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) bertembung di pertunjukan udara Mountain Home di Idaho, barat laut Amerika Syarikat (AS), di sini, dengan kerugian awal minima dianggarkan mencecah USD134 juta (RM533 juta).
Jurucakap Tentera Udara Tentera Laut, Armada Pasifik AS, Komander Amelia Umayam berkata insiden pada Ahad tersebut melibatkan dua pesawat dari Skuadron Serangan Elektronik 129 di Pulau Whidbey, Washington.
“Dua jet Tentera Laut Amerika Syarikat bertembung dan terhempas ketika sedang melakukan demonstrasi udara ketika nahas berlaku, dan empat anak kapal dari kedua-dua jet itu berjaya meloloskan diri dengan selamat dan sedang dinilai oleh kakitangan perubatan,” katanya, lapor stesen gabungan tempatan CBS News, KOMO.
Menurut laman web Breaking Defence, kos setiap satu unit Boeing EA-18G Growler Tentera Laut AS dianggarkan sebanyak USD67 juta (RM267 juta), namun kos keseluruhan boleh mencecah antara USD80 juta dan USD125 juta apabila mengambil kira subsistem peperangan elektronik (EW) yang canggih, pakej penyelenggaraan khusus dan sokongan logistik yang berterusan.
Dalam pada itu, pengarah pemasaran Silver Wings of Idaho, syarikat yang membantu merancang pertunjukan udara itu, dalam kenyataannya berkata tiada sesiapa di pangkalan tentera itu mengalami kecederaan.
“Semua orang selamat dan saya fikir itu perkara yang paling penting sekarang ini,” ujarnya.
Sementara pangkalan tentera berkenaan dalam satu catatan media sosial berkata bahawa ia telah ditutup kepada umum susulan kejadian itu.
Dalam pada itu, video yang disiarkan dalam talian oleh penonton menunjukkan empat payung terjun terbuka di langit ketika pesawat itu menjunam ke tanah berhampiran pangkalan kira-kira 50 batu (80 kilometer) di selatan Boise.
Orang awam dikenali sebagai Shane Odgen berkata dia sedang merakam dua jet itu ketika ia terbang menghampiri satu sama lain.
Sebuah daripada ideo yang dirakam Odgen menunjukkan kedua-dua pesawat itu kelihatan bersentuhan dan kemudian berputar seiringan sejurus empat anak kapal jet terbabit melantun keluar dan payung terjun mereka terbuka.
Pesawat-pesawat itu kemudian jatuh bersama, meletup menjadi bola api apabila terkena hentaman apabila anak kapal jatuh ke tanah berdekatan.
“Saya hanya merakam dengan berfikir ia akan berpecah dan itu berlaku dan saya merakam selebihnya,” katanya.
Odgen berkata, dia beliau beredar dari lokasi kejadian sejurus selepas nahas itu berlaku kerana beliau tidak mahu menghalang bantuan kecemasan terhadap mangsa kejadian tersebut.
Penganjur acara itu pula dalam kenyataannya berkata, pertunjukan udara popular yang merangkumi demonstrasi penerbangan dan lompatan payung terjun adalah perayaan sejarah penerbangan dan visi tentang keupayaan ketenteraan moden, yang mana skuadron demonstrasi Thunderbirds Tentera Udara AS menjadi tajuk utama pertunjukan itu pada kedua-dua hari tersebut.
Sementara, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS melaporkan penglihatan yang baik dan angin bertiup sehingga 29 batu per jam (mph) sekitar waktu nahas.
Acara Gunfighter Skies tahun ini merupakan yang pertama di pangkalan itu sejak 2018, apabila sebuah pesawat peluncur gantung maut dalam nahas semasa persembahan pertunjukan udara.
Terdahulu pada tahun 2003, sebuah pesawat Thunderbirds terhempas semasa cuba melakukan gerakan ‘manuver’.
Juruterbang, yang tidak cedera, dapat mengemudi pesawat itu menjauhi orang ramai dan melontarkan diri keluar dari jet tersebut kurang daripada sesaat sebelum ia mencecah tanah.
Industri pertunjukan udara telah berusaha untuk meningkatkan keselamatan selama bertahun-tahun dengan kira-kira 200 acara yang diadakan setiap tahun di AS.
Nahas maut terakhir yang berlaku di pertunjukan udara berlaku adalah pada tahun 2022 apabila dua pesawat tentera ‘vintaj’ bertembung di sebuah acara di Dallas dan mengorbankan enam nyawa.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pertunjukan Udara Antarabangsa, John Cudahy, berkata bahawa dahulu terdapat purata kira-kira dua kematian setahun di pertunjukan udara AS.
“Tetapi sejak sedekad yang lalu, puratanya lebih hampir kepada satu kematian setahun.Tiada kematian dalam pertunjukan udara pada tahun 2025 atau 2024, dan tiada kematian dalam kalangan penonton di pertunjukan udara sejak tahun 1952.
“Dari segi keselamatan, kami telah menikmati tempoh yang sangat singkat dengan beberapa kemalangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/5/2026











