Keputusan terima MIC parti anggota PN terbatal

PN tubuh Jawatankuasa Khas perhalusi kerjasama politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menetapkan bahawa keputusan menerima MIC sebagai parti anggota gabungan itu yang dibuat pada 9 Disember 2025 terbatal susulan ketiadaan pengesahan rasmi daripada parti berkenaan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat baru-baru ini mendapati sehingga kini MIC belum memberikan kata putus berhubung keputusan kemasukannya sebagai parti anggota PN walaupun telah beberapa kali diminta berbuat demikian.

- Advertisement -

Menurut beliau, keputusan itu turut mengambil kira kenyataan rasmi MIC bahawa parti berkenaan tidak pernah membuat permohonan rasmi untuk menyertai PN.

“Ekoran ketiadaan pengesahan itu, selain kenyataan rasmi MIC bahawa ia tidak pernah membuat permohonan rasmi menyertai PN.

“Maka dengan ini ditetapkan bahawa keputusan penerimaan MIC sebagai parti anggota PN yang dibuat sebelum ini malangnya tidak lagi relevan dan terbatal,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung PAS itu menjelaskan bahawa PN kini bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang dengan dukungan struktur dalaman dan sokongan yang sedia terbina.

Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, pengalaman berada di dalam dan di luar kerajaan sama ada sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) turut memperkukuhkan kesiapsiagaan gabungan itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan PN sebagai gabungan politik yang realistik dan inklusif terbuka untuk meneroka bentuk kerjasama pilihan raya atau ‘electoral pact’ dengan mana-mana parti serta pihak yang berkongsi prinsip dan wawasan sama.

Beliau menjelaskan bahawa kerjasama itu juga terbuka kepada pihak yang berminat menjadi rakan strategik PN tanpa menjadi parti komponennya.

Sehubungan itu, beliau berkata Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei 2026 yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memutuskan idea kerjasama politik itu akan diperhalusi menerusi penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas.

Menurut beliau lagi, jawatankuasa itu akan dianggotai wakil parti dalam PN bagi memperincikan terma dan syarat yang lengkap serta perlu.

“Pendekatan ini dipercayai lebih sesuai dengan realiti landskap politik negara, selain mendukung kepentingan kerjasama politik yang konstruktif demi kestabilan negara dan kesejahteraan hidup rakyat yang kini lebih tertekan tanpa jalan keluar yang meyakinkan.

“Ia juga dilihat membuka ruang kepada semua pihak dan parti untuk terlibat secara aktif dalam proses politik negara secara lebih bermakna dan sihat menerusi sebuah kerjasama politik nasional yang rasmi, matang dan tertib,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/5/2026

- Advertisement -