Melon Manis Machang identiti baharu pertanian Kelantan

- Advertisement -

MACHANG: Projek tanaman premium Melon Manis Machang (3M) mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai produk premium negeri Kelantan sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pertanian moden di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, usaha itu mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat, meningkatkan pendapatan usahawan tani serta mengangkat imej Kelantan sebagai negeri aktif dalam pembangunan pertanian moden dan berkualiti.

- Advertisement -

Menurutnya, projek berasaskan sistem fertigasi moden itu bukan sahaja memberi fokus kepada pengeluaran hasil pertanian, malah membina jenama serta identiti daerah Machang yang mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi tempatan.

“Melon Manis Machang ataupun yang kita panggil sebagai 3M ini mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai produk premium negeri Kelantan.

“Dengan penggunaan sistem fertigasi moden, projek ini mampu menghasilkan buah berkualiti tinggi yang mempunyai tahap kemanisan antara 14 hingga 18 brix,” katanya ketika berucap pada program tuaian hasil projek Melon Manis Machang di sini.

Mengulas lanjut beliau berkata, projek tersebut dibangunkan di atas keluasan 2.5 ekar dengan kapasiti sebanyak 5,000 polibeg dan dijangka mampu menghasilkan sehingga 6,750 kilogram buah bagi satu musim.

Katanya, nilai jualan kasar projek itu dianggarkan sekitar RM81,000 dengan tempoh matang tanaman hanya mengambil masa kira-kira tiga bulan.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya memanfaatkan tanah pertanian yang masih terbiar bagi meningkatkan pengeluaran makanan tempatan demi menjamin keterjaminan makanan negara.

“Kalau berlaku krisis makanan dunia, negara luar mungkin tidak lagi mengeksport makanan kepada kita. Sebab itu kita perlu fikir bagaimana mahu gunakan tanah yang ada untuk manfaat masyarakat,” ujarnya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri sejak dahulu memperkenalkan slogan ‘Bertani Satu Ibadat’ manakala kerajaan Persekutuan pula pernah memperkenalkan kempen ‘Bertani Adalah Perniagaan’.

“Gabungan kedua-dua pendekatan itu mampu memberi manfaat dunia dan akhirat kepada rakyat yang terlibat dalam sektor pertanian,” jelasnya.

Beliau juga menyatakan mahu melihat lebih ramai golongan muda menceburi bidang pertanian moden serta TVET kerana sektor tersebut mempunyai masa depan yang cerah terutama dalam era kecerdasan buatan (AI) dan digital.

“Jangan hanya fikir kerja pejabat sahaja kerana banyak pekerjaan akan diambil alih teknologi. Kita kena cipta pekerjaan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail pula berkata, idea pembangunan projek berkenaan dicetuskan sendiri oleh Ketua Jajahan Machang bagi mewujudkan tanaman identiti khas untuk kawasan itu.

“Tiga M dahulu merujuk membaca, menulis dan mengira. Sekarang kita ada tiga M baharu iaitu Melon Manis Machang.

“Ini idea yang baik daripada Ketua Jajahan Machang yang mahu melihat Machang mempunyai sekurang-kurangnya satu identiti tanaman tersendiri,” ujarnya.

Menurut beliau, projek itu menunjukkan perkembangan memberangsangkan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk pengurusan projek, petani, pegawai pertanian dan agensi berkaitan.
Katanya, kejayaan projek tersebut turut didorong faktor tanah yang sesuai, bebas banjir serta pengalaman petani tempatan dalam bidang pertanian.

Dalam pada itu, Tuan Mohd Saripudin turut merakam penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang meluluskan projek bernilai lebih RM500,000 itu.

Menurutnya, tahap kemanisan melon yang mencapai bacaan 14 brix membuktikan kualiti tinggi hasil tanaman berkenaan.

“Bila rasa melon ini, memang tidak perlu fikir panjang. Kualitinya sangat baik dan manis Aspek pemasaran menjadi faktor paling penting dalam memastikan projek pertanian dapat berkembang secara berterusan.

Sehubungan itu katanya, kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menerusi konsep kontrak ladang akan membantu memperluaskan pasaran produk berkenaan ke seluruh negara.

Menurut beliau, projek berasaskan pertanian moden seperti itu wajar diperluaskan termasuk projek tanaman cili fertigasi yang kini dibangunkan di kawasan seluas 50 hektar.

Katanya, projek-projek pertanian moden mampu membantu lebih ramai penduduk menjana pendapatan melalui sektor agromakanan.

Beliau turut menegaskan kerajaan negeri akan terus memberi sokongan termasuk latihan, bimbingan dan bantuan pemasaran bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani baharu khususnya dalam kalangan belia dan beliawanis.

“Apabila diberikan projek, dibimbing dan dibantu dari segi pemasaran, lebih ramai usahawan tani boleh dilahirkan di Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/5/2026

- Advertisement -