
KUALA LUMPUR: Perbandingan tiga gabungan politik utama negara memperlihatkan hanya Perikatan Nasional (PN) benar-benar mengangkat tokoh muda sebagai nakhoda.
Menurut penganalisis politik, Ahmad Fahmi Mokhtar, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dilihat masih mengekalkan tokoh lama.
“Hanya PN yang betul-betul angkat tokoh muda sebagai nakhoda PN, kurangkan wajah tokoh 70-an.
“BN kekalkan tokoh tua sebagai nakhoda, cantas tokoh muda dan tarik semula tokoh muda berada di bawahnya.
“PH kekalkan tokoh tua sebagai nakhoda dan cantas tokoh muda hinggakan tokoh muda itu bangunkan perahu sendiri untuk jadi nakhoda.
“Kita lihat perbandingan tokoh lama berikan laluan pada tokoh muda memimpin gabungan politik. Perbandingan tiga gabungan parti, PN, BN dan PH,” katanya dalam satu kenyataan media sosial beliau.
Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi menyatakan bahawa dalam PN, tokoh seperti Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan ‘giant’ politik dalam gabungan berkenaan.
Namun beliau menjelaskan bahawa kedua-dua tokoh berkenaan bersetuju untuk mengetengahkan muka baharu sebagai Pengerusi PN.
Menurut Ahmad Fahmi lagi, tindakan itu menyaksikan Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) diangkat sebagai muka baharu Pengerusi PN, namun Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mahu menjadi Timbalan Pengerusi.
Bagi PH pula, ulas beliau, tokoh muda seperti Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli sepatutnya diberikan ruang sebagai pelapis utama dalam kepimpinan parti, namun perkara itu tidak berlaku.
“Sepatutnya Rafizi Ramli dah dijadikan pelapis Presiden PKR. Dia nombor dua. Tapi dicantas,” tempelaknya.
Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan kepimpinan PH iaitu Pengerusinya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang belum bersedia memberi laluan kepada generasi muda, sekali gus menyebabkan tokoh berkenaan terpinggir.
Katanya lagi, situasi itu turut mendorong kemunculan gerakan baharu yang dikenali Bersama sebagai PKR baharu.
“Kerana kita semua tahu PKR tua di ambang kejatuhan,” ujarnya dalam nada sinikal.
Sementara itu, beliau berkata BN masih mengekalkan kepimpinan lama sebagai nakhoda, termasuk Presiden parti, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Tambah beliau , walaupun BN membawa masuk semula tokoh muda seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ), kedudukan beliau masih di peringkat bawah tanpa sebarang jawatan.
“Cuma Zahid ok sikit dari Anwar, bila bawa masuk balik KJ (Khairy Jamaluddin. Namun Khairy Jamaluddin masih di bawah Zahid.
“Tiada apa-apa jawatan, masih ahli biasa. Orang muda masih di bawah orang tua,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/5/2026











