
SEMPENA sambutan Hari Guru tahun 2026, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan, ucapan terima kasih dan doa kesejahteraan buat seluruh warga pendidik di negara ini yang telah menggalas amanah besar mendidik generasi pewaris bangsa, agama dan negara.
Tema “Pendidik Rabbani Malaysia Sejahtera” membawa makna yang sangat mendalam dalam suasana negara berdepan cabaran keruntuhan nilai, krisis identiti generasi muda, ledakan teknologi tanpa sempadan dan persaingan global yang semakin mencabar. Dalam menghadapi realiti ini, negara memerlukan guru yang bukan sahaja berfungsi sebagai penyampai ilmu, bahkan bertindak sebagai murabbi, muaddib dan qudwah hasanah dalam membentuk manusia yang seimbang dari sudut rohani, intelektual, emosi dan jasmani.
Agenda pendidikan negara mesti dipandu oleh kerangka Falsafah Pendidikan Kaffah Rabbani, iaitu:
“Suatu usaha berterusan secara holistik dan saintifik dalam menyuburkan fitrah manusia berteraskan prinsip iman, Islam dan ihsan bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah bagi membangun insan soleh pintar yang berilmu dan beramal, berakhlak mulia, berintegriti, memiliki jati diri serta menguasai teknologi semasa ke arah pembentukan generasi rabbani yang memimpin ummah menuju keunggulan tamadun dan kesejahteraan dunia akhirat.”
Falsafah ini menekankan bahawa pendidikan bukan sekadar proses melahirkan tenaga kerja atau pencapaian akademik semata-mata, tetapi merupakan agenda besar pembinaan insan rabbani yang mampu memimpin masyarakat dengan panduan wahyu, kebijaksanaan ilmu dan kekuatan akhlak.
Guru dalam kerangka pendidikan rabbani ialah pembina jiwa manusia. Mereka bukan sahaja mendidik murid untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan, bahkan membentuk generasi yang mempunyai kekuatan iman, disiplin akhlak, semangat cintakan ilmu, keutuhan integriti serta
kesediaan memimpin masyarakat dengan nilai Islam yang syumul.
Pendidik rabbani perlu diperkasakan dengan lima kekuatan utama; (1) Kekuatan akidah dan ruhiyyah, (2) Ketinggian ilmu dan profesionalisme, (3) Keutuhan akhlak dan integriti, (4) Kebijaksanaan membina jati diri ummah, dan (5) Keupayaan memimpin perubahan tamadun.
PAS menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuhkan ekosistem pendidikan negara, memperkasakan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta memastikan generasi masa hadapan negara dibangunkan dengan keseimbangan antara ilmu wahyu, ilmu akal, teknologi dan akhlak insani. Pembinaan Malaysia yang sejahtera tidak akan tercapai tanpa lahirnya pendidik rabbani yang mampu membina manusia rabbani.
Selamat menyambut Hari Guru kepada seluruh pendidik tanah air. Semoga Allah SWT memberkati segala pengorbanan dan jasa bakti para guru dalam membangunkan generasi ummah dan negara.
YB DATO’ SRI AMAR D’RAJA DATO’ (Dr.) MOHD AMAR BIN ABDULLAH
Naib Presiden PAS
merangkap Pengerusi
Lajnah Pendidikan PAS Pusat
16 Mei 2026 – HARAKAHDAILY 16/5/2026











