
SHAH ALAM: Pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Sabtu bertukar menjadi lautan merah dan kuning apabila ribuan peserta membanjiri kawasan itu dalam Himpunan Daulat Tuanku anjuran Pemuda PAS Selangor.
Sejak jam 3.30 petang, peserta mula berhimpun dengan mengenakan baju tertera perkataan ‘full stop’ sebagai simbol ketegasan mempertahankan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah serta kedaulatan institusi diraja Selangor.
Suasana semakin membara apabila ribuan peserta melaungkan takbir “Allahu Akbar” berulang kali sebelum memulakan perarakan menuju ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Menurut Ketua Penerangan PAS Gombak, Mohamad Sufi Kamari, dianggarkan kehadiran 5,000 peserta terlibat dalam perarakan dari masjid negeri itu ke pintu utama Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor.
“Ia bukan sekadar himpunan biasa, sebaliknya menjadi manifestasi solidariti rakyat pelbagai latar belakang politik dan NGO yang hadir menyatakan taat setia kepada Sultan Selangor.
“Kelihatan wakil daripada PAS, Umno, BERSATU, Parti Pejuang Tanahir (PEJUANG), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) turut bersama dalam himpunan tersebut, memperlihatkan sokongan rentas parti terhadap institusi diraja negeri itu.
“Sebelum berarak, para peserta terlebih dahulu menunaikan solat Asar berjemaah, sekali gus mewujudkan suasana penuh tertib namun sarat dengan semangat mempertahankan agama, bangsa dan institusi diraja,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar dalam kenyataannya memaklumkan himpunan itu dianjurkan bersama gabungan NGO susulan kontroversi melibatkan titah Sultan Selangor baru-baru ini.
Menurut beliau, tindakan beberapa pemimpin DAP dan Pakatan Harapan (PH) dilihat sebagai telah melampaui batas politik serta tidak menghormati institusi diraja di Selangor.
Katanya, himpunan berkenaan bertujuan menzahirkan kesetiaan mutlak rakyat terhadap titah Sultan Selangor, selain mempertahankan agama Islam, kepentingan Melayu dan kedaulatan institusi diraja negeri itu.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu memorandum taat setia rakyat akan diserahkan ke Istana Kayangan, selain sekretariat himpunan membuat pemakluman rasmi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor mengikut lunas undang-undang dan hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 16/5/2026











