
PORT DICKSON: PAS Kawasan Port Dickson menyuarakan kebimbangan serius terhadap penularan penggunaan rokok elektronik atau vape yang dicampur dengan dadah sintetik, di mana kini semakin berleluasa dan membimbangkan khususnya dalam kalangan remaja.
Menurut kenyataan itu, kesan penggunaan bahan terlarang berkenaan semakin ketara apabila terdapat banyak kes melibatkan pengguna mengalami kesan psikoaktif teruk, sawan, kerosakan saraf serta gangguan mental kronik akibat ketagihan.
“Remaja kini terdedah kepada dadah sintetik seperti ekstrak ‘Magic Mushroom’ (psilosibin), ketamin dan metamfetamin yang disembunyikan di sebalik perisa vape,” katanya menerusi satu kenyataan media di laman sosial, semalam.
Tambahnya, situasi itu menjadi lebih membimbangkan apabila sindiket pengedaran menyasarkan pelajar sekolah dengan menggunakan peranti vape yang direka dalam pelbagai bentuk mengelirukan seperti pemacu pena, pen penanda dan alat permainan.
“Persoalannya, sampai bila kita harus membiarkan anak-anak kita diracuni secara terang-terangan begini?” ujarnya kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, mereka menjelaskan bahawa dari sudut perundangan, kerajaan telah mewartakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang melarang penjualan, pembelian dan pemilikan produk merokok termasuk vape kepada golongan bawah umur.
“Selain itu, kes berkaitan bahan narkotik pula tertakluk di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952. Masalah sebenar bukan ketiadaan undang-undang, tetapi kelemahan dalam pelaksanaan, pemantauan dan penguatkuasaan,” jelasnya.
Sehubungan itu, PAS Port Dickson menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera termasuk melaksanakan operasi bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak berkuasa tempatan bagi membanteras penjualan vape berdadah.
“Mereka yang terlibat perlu diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 tanpa kompromi dan lesen perniagaan mesti dibatalkan serta-merta,” tegasnya.
Kenyataan itu turut menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkasakan pihak sekolah dengan kuasa melakukan pemeriksaan mengejut serta melaksanakan saringan terhadap pelajar berisiko dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan.
“Dalam masa sama, ibu bapa diseru agar lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak serta memantau persekitaran mereka bagi mengelakkan mereka terjebak dengan gejala berkenaan.
“Pihak berkuasa tidak boleh lagi bersikap sambil lewa. Generasi masa depan negara sedang diancam dan tindakan drastik perlu diambil segera,” katanya lagi.
Terdahulu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM melaporkan gejala penyalahgunaan vape yang dicampur dengan bahan terlarang semakin membimbangkan.
Cecair vape boleh disalah guna dengan mencampurkan dadah sintetik, kanabis atau bahan psikoaktif baharu tanpa disedari pengguna. Ia bukan sahaja memudaratkan kesihatan, malah boleh menjerumuskan seseorang kepada ketagihan yang lebih serius.
Pengambilan vape bercampur dadah memberi kesan buruk kepada otak dan sistem saraf, mencetuskan gangguan mental seperti cemas melampau dan halusinasi, serta meningkatkan risiko ‘overdosis’.
Lebih membimbangkan, pengguna boleh berdepan tindakan tegas di bawah undang-undang sekiranya terlibat dengan pemilikan atau penyalahgunaan bahan terlarang.
“Jangan terpedaya dengan trend atau pengaruh rakan sebaya. Ketagihan bermula dengan rasa ingin mencuba, namun kesannya boleh merosakkan masa depan. Jangan ketagih dengan vaping dan dadah,” menurut laporan itu. – HARAKAHDAILY 15/5/2026











