Status Timbalan Speaker bergantung keputusan kerajaan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan setakat ini belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung pemecatan Timbalan Speaker, Dato’ Muhamad Farid Mohd Zawawi daripada BERSATU.

Speaker DUN Kelantan, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sebarang tindakan berkaitan kedudukan Timbalan Speaker bergantung kepada keputusan kerajaan negeri.

- Advertisement -

Menurutnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor, sehingga kini Pejabat Speaker belum menerima surat rasmi berkaitan perkara tersebut.

“Kedudukan sebagai Timbalan Speaker yang disandang Adun Kok Lanas bergantung kepada keputusan kerajaan,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily bagi mengulas isu berkenaan semalam.

Mohd Amar berkata, berdasarkan prosedur sepatutnya, sebarang keputusan melibatkan pemecatan keahlian parti perlu dimaklumkan secara rasmi kepada parti dan kerajaan terlebih dahulu.

Kata Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, sehingga sekarang kedudukan jawatan Timbalan Speaker masih belum diputuskan secara muktamad.

Baru-baru ini Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Dato’ Mohd Radzi Manan memaklumkan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu dipecat daripada keahlian parti tersebut.

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga, Mohd Almidi Jaafar pula digantung keahlian Bersatu selama dua penggal pemilihan. – HARAKAHDAILY 15/5/2026

- Advertisement -