
KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Nazrin Ramlan menegaskan bahawa DAP mengetahui segala yang mereka mahukan dan sentiasa berusaha mendapatkan lebih banyak perkara.
Beliau berpandangan, setiap yang telah diberikan tidak pernah dianggap mencukupi sehingga parti itu mahu memperoleh lebih banyak hak dan kuasa.
“Hari ini mereka mahu sejarah. Esok mereka mahu lebih banyak hak. Lusa mereka mahu lebih banyak kuasa?” tempelaknya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kenyataan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook yang berpendapat bahawa, buku sejarah negara perlu memberikan gambaran lebih lengkap mengenai sistem parti politik di Malaysia.
Loke berkata, sejarah yang diajar kini terlalu menumpukan kepada Perikatan atau Barisan Nasional, sedangkan parti lain seperti DAP dan PAS juga memainkan peranan penting dalam landskap politik negara.
Loke turut menyatakan akan meminta Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mengkaji dan mengemukakan memorandum kepada pihak berkaitan bagi tujuan tersebut.
“Sama ada anda suka atau tidak suka, sokong atau tidak sokong, ini adalah sejarah, ia adalah sebahagian pembentukan landskap politik negara kita. Terutama sekali peranan yang dimainkan dalam Parlimen,” katanya.
Loke Siew Fook dilaporkan berkata demikian apabila ditanya oleh wartawan selepas merasmikan Pertandingan Kuiz Pengetahuan Kebangsaan anjuran DAPSY pada Ahad (10 Mei).
Walau bagaimanapun, menurut Nazrin, masalah sebenar orang Melayu ialah masih ramai yang tidak sedar siapa ancaman sebenar terhadap masa depan mereka.
Tambahnya, keadaan menjadi lebih malang apabila ramai pemimpin Melayu bukan sahaja tidak sedar, malah sengaja tidak mahu sedar.
“Mereka diam kerana jawatan. Mereka diam kerana kerusi. Mereka diam kerana kemewahan yang diberi kepada mereka. Lebih buruk lagi ada yang tidak berani bercakap kerana terikat dengan kesalahan silam yang mereka lakukan sendiri,” jelasnya.
Nazrin berpandangan, ada pemimpin Melayu yang takut bersuara kerana bimbang kesalahan mereka akan dibongkar.
Beliau turut menyatakan, jika benar mereka pejuang agama, bangsa dan negara, golongan itu sepatutnya berani menerima tanggungjawab atas kesilapan sendiri serta mempertahankan masa depan orang Melayu.
“Hukuman terhadap kesalahan peribadi lebih kecil daripada kehilangan masa depan satu bangsa. Tetapi mereka memilih untuk terus berkuasa dan terus menipu orang Melayu seolah-olah mereka sedang memperjuangkan bangsa,” katanya.
Menurut beliau, hakikat sebenar ialah mereka menjual dan mengkhianati bangsa sendiri sehingga orang Melayu semakin lemah di tanah air sendiri.
Katanya lagi, kehilangan kuasa akibat dijajah merupakan satu tragedi, namun lebih menghina jika ia berlaku disebabkan pemimpin sendiri yang pengecut, tamak dan sanggup menjual masa depan bangsa.
“Generasi akan datang mungkin kehilangan segala apa yang diperjuangkan oleh nenek moyang mereka. Mereka akan menjadi penumpang di negara sendiri,” bimbangnya.
Nazrin turut menyuarakan pandangan bahawa orang yang diterima menjadi warganegara sepatutnya menghargai setiap segala yang telah diberikan.
Namun kesalnya, ada pihak yang mahu lebih banyak sehingga cuba menulis semula sejarah dan mengangkat diri sebagai pejuang kemerdekaan.
“Inilah sifat politik yang tidak pernah puas. Lihat dan ambil iktibar,” ujarnya.
Beliau memetik kata-kata Hang Tuah bahawa Melayu tidak akan hilang di dunia, namun menurutnya orang Melayu boleh kehilangan tanah, kuasa dan negara sendiri jika terus leka serta memilih pemimpin yang takut.
Dalam perkembangan sama, beliau menyifatkan belum pernah berlaku dalam sejarah sesebuah negara apabila sebuah parti yang tidak terlibat dalam perjuangan kemerdekaan menuntut supaya sejarah negara diubah untuk mengangkat parti itu sebagai pejuang kemerdekaan.
“Itulah yang sedang dilakukan oleh DAP. Mereka mahu perjuangan mereka diterima sebagai sebahagian daripada sejarah nasional walhal mereka tidak bersama Tunku Abdul Rahman, Umno, MCA dan MIC semasa kemerdekaan diperjuang dan dicapai,” tegasnya.
Beliau memaklumkan, sebelum DAP ditubuhkan, gagasan ‘Malaysian Malaysia’ diperkenalkan oleh Lee Kuan Yew melalui PAP, namun ditolak rakyat ketika itu.
“Hari ini gagasan yang sama dibawa semula dengan nama yang berbeza tetapi dengan tujuan yang sama,” ulasnya.
Nazrin berkata, sedikit demi sedikit asas negara dicabar apabila papan tanda dalam bahasa lain semakin menonjol sehingga bahasa Melayu di tanah air sendiri kelihatan seperti bahasa kedua.
Pada masa sama, beliau berpendapat pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) terus didesak walaupun sistem pendidikan kebangsaan sepatutnya menjadi alat penyatuan rakyat.
Beliau turut membangkitkan tuntutan berkaitan ladang babi walaupun mendapat bantahan penduduk tempatan dan menyinggung sensitiviti umat Islam.
Selain itu, beliau menyentuh situasi apabila titah Raja-raja Melayu dipersoalkan sekiranya keputusan tidak selari dengan kehendak politik tertentu.
“Bahasa Melayu diterima hanya sebagai formaliti. Islam mahu dilihat sekadar simbol. Hak orang Melayu dianggap penghalang kepada konsep kesamarataan mutlak.
“Sejarah negara hendak ditafsir semula supaya generasi muda lupa siapa yang memperjuangkan kemerdekaan dan siapa yang menerima pendatang menjadi warganegara negara ini,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menyatakan gejala mabuk, judi, pelacuran dan korupsi semakin berkembang sehingga rakyat hilang keyakinan terhadap institusi sendiri. HARAKAHDAILY 15/5/2026











