Mengenang 78 tahun Nakbah Palestin yang perih

- Advertisement -

15 MEI setiap tahun semenjak 1948 adalah tarikh yang menikam hati dan perasaan umat Islam, Nakbah Palestin atau pun bencana Palestin yang hilang daripada peta digantikan dengan negara haram Israel. Pengusiran dan pembantaian terhadap umat Palestin tidak berhujung, seolah-olah dunia Islam sudah pekak dan tuli terhadap jeritan mangsa penindasan.

Israel dengan dukungan Amerika Syarikat serta ahzab moden tidak peduli akan bantahan dan jerkahan masyarakat antarabangsa, dibantui oleh rejim negara-negara Arab yang pro kepada kuasa adijagat dunia yang juga bertindak sebagai ‘polis dunia’, Amerika Syarikat.

Taufan al-Aqsa sejak Oktober 2023 yang lalu mewajahkan sikap tolol dan tirani kelompok Zionis. Seluruh dunia bangkit membantah kezaliman namun mereka tega melanggar Konvensyen Geneva, menabrak hospital, rumah ibadah, sekolah, klinik, ambulan, merobek nyawa kanak-kanak, wanita dan sejuta kejahatan yang lain. Bangsa angkuh yang didukungi ahzab moden itu juga melanggar protokol Majlis Keselamatan PBB. Bersambung keangkuhan mereka dalam perang menentang Iran walaupun Haifa, Tel Aviv, Askelon dan Ashdod juga diluluh lantak oleh bangsa Parsi yang menyala.

Dalam denai sejarah dunia, gerakan Zionis yang ditubuhkan pada tahun 1897, terus merancang dengan teliti untuk menakluki tanah Palestin. Zaman Imperialisme Barat yang menyaksikan umat Islam yang terpuruk kebelakang turut mempercepatkan kewujudan negara haram Israel di atas tanah Palestin.

- Advertisement -

Teodor Hezl yang memimpin konspirasi Zionis ini meminta Sultan Abdul Hamid II untuk melepaskan Palestin dengan tukaran wang namun khilafah Uthmaniah yang semenjak pemerintahan Khalifah Uthman Urthugul tetap menjaga setiap inci tanah Palestin. Gerakan Zionis telah berjaya memperalatkan Britain untuk melakukan peluasan kuasa di Palestin sehingga berlaku perang pada tahun 1917 yang dimenangi oleh tentera British. Lalu, British menjemput migran Yahudi dari pelbagai pelusuk dunia terutamanya dari Eropah selepas daripada Deklarasi Balfour.

Negara haram Israel menjadi duri dalam daging kepada umat Islam, dengan pengusiran dan pembantaian terhadap umat Islam Palestin. Nakbah Palestin yang berlaku semenjak Mei 1948 terus berterusan memotret luka kepada umat Islam. Perang Palestin yang melibatkan mujahidin Ikhwanul Muslimin pada tahun 1940-an dan dengan alasan inilah, Ikhwan Muslimin telah diseret ke jeriji penjara pada tahun 1948.

Malangnya, negara-negara Arab dalam dekad 1950-an dan 1960-an yang berselimut dengan fahaman Baath (Sosialis Arabism), tidak mempunyai kekuatan untuk menjaga tanah Palestin daripada perampok Zionis. Bahkan dalam Perang Enam Hari atau Perang Arab Israel 1967 menyaksikan tiga buah negara Arab bernuansa Baath telah dipijak maruah dan dihina dengan kekalahan. Mesir telah kehilangan wilayah Sinai, Jordan dirampas Tebing Barat dan Syria kehilangan Bukit Golan yang strategik. Ketiga-tiga negara Arab ini juga telah kehilangan 25,000 orang anggota tentera yang dibunuh oleh pihak Zionis.

Cahaya kemenangan hanya muncul bersinar dengan perjuangan berteraskan akidah. Di Gaza, munculnya HAMAS pada tahun 1987 yang meletakkan matlamat untuk membebaskan setiap tanah Palestin yang dirampas oleh Zionis. Sheikh Ahmad Yasin telah memimpin gerakan jihad ini sehingga dilihat HAMAS menjadi pembela utama Palestin dan gerakan ini telah membayar harga yang mahal dalam usaha menjulang perjuangan pembebasan Palestin.

Usaha menyelamatkan al-Quds memerlukan usaha yang berterusan, sistematik serta penggarapan seluruh iltizam politik kerajaan umat Islam di seluruh belahan dunia. Malangnya hari ini, keseriusan untuk menyelamatkan al-Quds sangat sederhana malah sangat mengecewakan. Contohnya, apabila Erdogan melakukan inisiatif menghimpunkan pimpinan negara OIC di Istanbul pada tahun 2018, sebanyak 23 buah negara tidak menghantar perwakilan. Lihatlah bagaimana sikap negara Teluk terhadap Qatar pada bulan Jun 2017, negara itu dikucilkan oleh negara Teluk yang lain kerana melindungi pimpinan HAMAS.

Bagi penulis, usaha penyelamatan al-Quds mestilah paralel dengan usaha membantu Gaza sehinggalah Rafah yang sedang terkepung. Dunia Islam mestilah bangkit mendesak agar kerajaan kudeta Mesir membuka pintu sempadan Rafah bagi memudahkan dunia antarabangsa membantu menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang diganyang dengan serangan rejim Zionis sejak 7 Oktober 2023. Perjuangan membebaskan Palestin adalah milik seluruh umat Islam dan merentasi sempadan politik dan kotak kecil negara bangsa!

Bangkitlah umat Islam, 78 tahun telah berlalu Nakbah Palestin yang perih. Tahun inilah mereka merayakan dengan gemilang kesakitan umat Palestin dengan pembantaian Gaza dengan 75,000 angka kematian, serangan ke atas Iran, Yaman serta Selatan Lubnan. Diam kita adalah jenayah besar pada agama ini!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 15/5/2026

- Advertisement -