UEC: Demi penuhi tuntutan DAP

Kerajaan Madani belakangkan jati diri kebangsaan

- Advertisement -

RAKYAT semakin kecewa melihat tindakan kerajaan Madani yang dilihat semakin berani mengetepikan asas jati diri kebangsaan demi memenuhi tuntutan politik kelompok tertentu. Keputusan membuka laluan kepada lepasan UEC memasuki IPTA bukan lagi dilihat sebagai isu pendidikan semata-mata, tetapi simbol bagaimana kerajaan hari ini sanggup menggadaikan prinsip asas negara yang telah dibina sejak merdeka. Ini dilihat sebagai satu usaha dan tindakan secara senyap ‘Meliberalisasikan Penderhakaan’ kepada negara.

- Advertisement -

Apa yang menyedihkan, kerajaan seolah-olah gagal memahami bahawa sistem pendidikan kebangsaan merupakan teras utama pembinaan identiti nasional. Selama puluhan tahun negara berusaha membina kesatuan rakyat melalui Bahasa Melayu, kurikulum kebangsaan dan semangat integrasi nasional. Namun hari ini, asas itu semakin dilonggarkan sedikit demi sedikit hanya kerana tekanan politik dalam gabungan kerajaan.

Lebih mengecewakan apabila tindakan ini dilihat cuba menormalisasikan sistem pendidikan yang berada di luar kerangka Dasar Pendidikan Kebangsaan. Sedangkan Perlembagaan Persekutuan dengan jelas mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan meletakkan pendidikan sebagai instrumen penting membentuk negara bangsa.

Membuka ruang luas kepada UEC tanpa menyelesaikan isu asas berkaitan sistem tersebut memberi gambaran bahawa kerajaan sendiri tidak lagi tegas mempertahankan identiti nasional. Lebih-lebih lagu UEC lebih menjunjung Mandarin tinggi daripada Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Dalam masa yang sama, rakyat juga melihat wujud percubaan mengaburi mata masyarakat apabila kerajaan cuba ‘mengimbangkan’ keputusan itu dengan memberi tawaran sama kepada pelajar tahfiz. Hakikatnya kedua-dua perkara itu tidak sama. Pendidikan tahfiz berkembang dalam tradisi ilmu Islam yang menjadi sebahagian daripada sejarah dan identiti negara ini.

Islam ialah agama Persekutuan dan majoriti pelajar tahfiz terdiri daripada orang Melayu yang mempunyai kedudukan istimewa menurut Perlembagaan Persekutuan. Menyamakan tahfiz dengan UEC dari sudut perjuangan dan kedudukan perlembagaan adalah hujah yang tidak tepat dan mengelirukan.

Tindakan kerajaan ini juga menimbulkan persoalan besar sama ada mereka masih benar-benar menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan ataupun sekadar menjadikannya slogan politik. Perlembagaan bukan dokumen yang boleh ditafsir mengikut kepentingan politik semasa. Ia ialah asas kontrak sosial negara yang wajib dipelihara dengan penuh tanggungjawab.

Rakyat semakin bimbang apabila kerajaan dilihat terlalu tunduk kepada tuntutan politik pihak tertentu sehingga sanggup mengorbankan sensitiviti majoriti rakyat. Perkara seperti ini bukan membantu perpaduan, sebaliknya berpotensi menimbulkan keresahan dan ketegangan dalam masyarakat kerana rakyat melihat adanya layanan berbeza terhadap asas-asas kebangsaan yang selama ini dipertahankan.

Kerajaan Madani sepatutnya menjadi benteng mempertahankan identiti negara, bukannya membuka ruang kepada penghakisan nilai kebangsaan sedikit demi sedikit.

Jika kerajaan sendiri gagal mempertahankan dasar pendidikan nasional, maka generasi akan datang bakal mewarisi sebuah negara yang semakin kehilangan arah, identiti dan semangat kebangsaannya. Dalam soal sebesar ini, rakyat berhak menyuarakan bantahan. Ini bukan soal kebencian terhadap mana-mana kaum atau komuniti, tetapi soal mempertahankan asas negara yang telah dipersetujui sejak sekian lama.

Kerajaan perlu sedar bahawa kestabilan negara tidak dibina melalui kompromi politik yang mengorbankan prinsip, tetapi melalui keberanian mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan jati diri kebangsaan dengan tegas dan bermaruah.

Perkembangan terbaru ini suka atau tidak, akan sahaja mewujudkan perpecahan rakyat Malaysia jauh sekali untuk lebih mengeratkan perpaduan. Perlu diingat pemimpin terdahulu merangka sistem pendidikan negara sedia ada untuk memperkukuhkan perpaduan namun dengan langkah terbaru Kerajaan Madani ini sepertinya merendahkan matlamat dan falsafah sistem pendidikan negara dengan membenarkan sistem pendidikan luar masuk ke negara yang tercinta ini.

DR KHALID HAMKA
Pejuang Jatidiri Negara
Alor Setar, Kedah – HARAKAHDAILY 15/5/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -