
KUALA LUMPUR: Fokus kerajaan dalam pembangunan perumahan dipersoalkan kerana dasar sedia ada dilihat lebih cenderung memberi kelebihan kepada pemaju berbanding memenuhi keperluan sebenar rakyat.
Mantan Exco Perumahan Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata ketidakseimbangan ini dapat dilihat melalui lambakan projek perumahan yang tidak selari dengan permintaan pasaran tempatan.
Menurut beliau, terdapat banyak unit kediaman yang gagal dijual kerana tidak menepati kemampuan atau keperluan rakyat, sehingga akhirnya terpaksa dipasarkan kepada pembeli luar.
“Kita bina rumah yang orang tak nak, kemudian jual kepada orang luar,” katanya yang juga Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH).
Beliau menjelaskan bahawa keadaan ini menunjukkan kegagalan dalam perancangan pembangunan, khususnya apabila jenis dan harga rumah yang dibina tidak berpaksikan realiti kemampuan rakyat tempatan.
Dalam masa sama, beliau turut menyentuh isu kuota Bumiputera yang menurutnya dilihat semakin hilang keberkesanan, malah disifatkan sekadar memenuhi syarat di atas kertas tanpa impak sebenar.
“Letak 30 atau 40 peratus, tapi harga mahal sampai Bumiputera tak mampu beli, akhirnya ‘released‘ juga,” ujarnya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka.
Menurut beliau, situasi ini menyebabkan kuota Bumiputera yang sepatutnya melindungi kepentingan golongan tersebut menjadi tidak bermakna apabila unit yang diperuntukkan tidak mampu dimiliki.
Akibatnya ujar beliau yang juga Bendahari PAS Pusat itu, unit tersebut dilepaskan semula ke pasaran terbuka, sekali gus menggagalkan objektif asal dasar tersebut.
Dato’ Iskandar turut menegaskan bahawa kerajaan sebenarnya mempunyai kuasa penuh untuk mengawal pembangunan perumahan melalui mekanisme kelulusan perancangan atau planning permission.
Katanya, melalui instrumen ini, kerajaan boleh menetapkan jenis pembangunan, komposisi harga serta peratusan kategori rumah yang perlu dibina oleh pemaju.
“Kerajaan boleh kawal daripada awal, berapa banyak rumah kos rendah, sederhana dan tinggi yang perlu dibina,” jelas bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor itu.
Namun, beliau berpandangan bahawa tanpa hala tuju dan fokus yang jelas, kuasa tersebut tidak dimanfaatkan sepenuhnya, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan yang lebih menguntungkan pihak pemaju berbanding rakyat.
Menurutnya, kegagalan mengawal pembangunan secara strategik telah menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ketara antara penawaran dan permintaan.
Di satu pihak, terdapat lebihan rumah berharga tinggi tidak terjual, manakala di pihak lain, rakyat terus berdepan kekurangan rumah mampu milik yang benar-benar sesuai dengan kemampuan mereka.
Beliau turut mengaitkan keadaan ini dengan kecenderungan untuk memenuhi permintaan pasaran luar, termasuk program seperti penjualan kepada warga asing, sebagai jalan keluar kepada masalah lambakan unit tidak terjual.
Dalam konteks tersebut, beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu kembali kepada asas utama dalam merangka dasar perumahan, iaitu memastikan keperluan rakyat tempatan menjadi keutamaan.
Tambah beliau, penetapan dasar yang jelas dan tegas perlu dilaksanakan bagi memastikan pemaju tidak bebas menentukan jenis pembangunan semata-mata berdasarkan keuntungan.
“Kalau kerajaan fokus nak bantu rakyat, dia akan bantu rakyat. Tapi kalau fokus kepada pemaju, dia bantu pemaju,” katanya terhadap perkembangan bersifat kapitalisme itu.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar pendekatan pembangunan perumahan dikaji semula secara menyeluruh, termasuk memperketat kawalan terhadap harga dan jenis rumah yang dibina, selain memastikan dasar kuota Bumiputera benar-benar berfungsi.
Beliau menegaskan bahawa tanpa perubahan signifikan, isu ketidakseimbangan ini akan terus berulang, sekali gus menjejaskan akses rakyat kepada perumahan yang adil dan mampu dimiliki. – HARAKAHDAILY 15/5/2026











