
SETIAP kali kerajaan berdepan tekanan fiskal dan kekangan untuk menanggung subsidi pukal, penyasaran subsidi sering dikemukakan sebagai jalan keluar. Pada prinsipnya, penyasaran memang munasabah kerana subsidi tidak boleh bersifat umum untuk selama-lamanya.
Namun persoalan yang patut diperdebatkan secara serius ialah bentuk penyasaran itu sendiri, adakah ia dibina atas asas keadilan, ketelusan dan disiplin fiskal, atau sekadar langkah mudah yang menjadikan T20 sasaran paling cepat untuk ‘menampal’ jurang kewangan?
Perbincangan tentang T20 biasanya dimulakan dengan satu fakta penting di mana kutipan cukai pendapatan individu sangat tertumpu. Laporan yang memetik data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun 2022 menunjukkan kumpulan T20 menyumbang sekitar 85 peratus kutipan cukai pendapatan individu, kira-kira RM33.68 bilion daripada jumlah RM39.26 bilion, manakala M40 sekitar 13 peratus.
Angka ini bukan untuk menyanjung mana-mana kumpulan, tetapi untuk menegaskan struktur fiskal negara bahawa sebahagian besar perkhidmatan awam dan bantuan asas ditampung oleh kumpulan pembayar cukai yang kecil tetapi berpendapatan tinggi.
Maka, apabila kerajaan mahu mengurangkan manfaat kepada kumpulan ini, kerajaan wajib menjawab dua soalan dasar, iaitu ke mana penjimatan itu disalurkan, dan bagaimana ia sampai kepada kumpulan sasaran tanpa kebocoran?
Masalahnya, label ‘T20’ sering diperlakukan seolah-olah satu kelompok yang seragam. Hakikatnya lebih kompleks. Ada yang benar-benar kaya, tetapi ada juga golongan yang berada ‘di sempadan’, hanya sedikit melepasi garis T20. Dalam kehidupan bandar, pendapatan kasar yang kelihatan tinggi tidak semestinya menggambarkan kemampuan sebenar apabila ditolak ansuran rumah, kenderaan, pendidikan anak, insurans, dan tanggungan ibu bapa.
Golongan ‘sempadan’ ini ibarat mentimun, tidak layak menerima bantuan, tetapi menanggung kos hidup yang tinggi. Jika penyasaran subsidi dibuat hanya berasaskan pendapatan kasar tanpa menilai pendapatan boleh guna, kos hidup setempat dan beban tanggungan, dasar itu akan dilihat sebagai hukuman, bukan pembetulan sistem.
Selain isu keadilan, kerajaan juga perlu mengira kesan ekonomi yang lebih halus iaitu dengan memerah T20 boleh mengurangkan pendapatan negara secara tidak langsung. Apabila manfaat dikurangkan dan kos meningkat, sebahagian T20 akan mengecilkan perbelanjaan.
Perbelanjaan ini bukan sekadar ‘gaya hidup’; ia menggerakkan sektor perkhidmatan domestik seperti restoran, bengkel, kontraktor kecil, tuisyen, dan pelbagai perniagaan yang menggaji M40 dan B40. Apabila permintaan domestik melemah, perniagaan kecil terjejas, peluang pekerjaan menjadi rapuh, dan kutipan cukai tidak langsung juga berisiko menurun.
Dalam erti kata lain, penjimatan fiskal yang disasarkan kerajaan boleh datang bersama kos sosial yang tidak ditaksir dengan teliti.
Dilema subsidi bahan api memberi gambaran paling jelas. Perdana Menteri dilaporkan menyatakan kerajaan memperuntukkan subsidi sekitar RM2 bilion sebulan untuk mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter. Pada masa yang sama, kenyataan rasmi Kementerian Kewangan menunjukkan harga diesel di Semenanjung bagi tempoh tertentu pada hujung Mac 2026 meningkat sehingga RM5.52 seliter.
Apabila diesel melonjak, kos logistik dan rantaian makanan turut meningkat, dan kesannya dirasai semua lapisan masyarakat. Justeru, timbul persoalan dasar, mengapa naratif reform sering bermula dengan ‘mengurangkan manfaat’ kumpulan tertentu, sedangkan pembaikan struktur iaitu kebocoran, ketirisan dan pengurusan kos rantaian tidak ditampilkan dengan ukuran yang meyakinkan?
Di sinilah kritikan yang konstruktif perlu diletakkan. Sebelum mengurangkan manfaat kepada kumpulan pembayar cukai terbesar, kerajaan perlu menunjukkan disiplin fiskal melalui tindakan yang boleh dilihat iaitu menilai semula perbelanjaan kurang mendesak, menutup ketirisan, memperkukuh audit dan penguatkuasaan, serta melaporkan hasil penjimatan secara telus.
Reform subsidi hanya mendapat mandat sosial apabila rakyat percaya penjimatan itu benar-benar kembali kepada rakyat dalam bentuk yang boleh diukur seperti perkhidmatan kesihatan dan pendidikan yang lebih baik, bantuan bersasar yang pantas, serta usaha menurunkan kos rantaian makanan.
Kesimpulannya, isu sebenar bukan ‘apa salah T20’, tetapi apakah reka bentuk penyasaran kerajaan benar-benar adil dan lestari. Reform subsidi memang perlu, tetapi ia mesti disertai definisi yang telus, pelaporan yang boleh diaudit, dan disiplin perbelanjaan yang meyakinkan. Tanpa prasyarat ini, penyasaran akan kelihatan seperti jalan mudah iaitu menekan kumpulan yang paling mudah dikenal pasti, sedangkan masalah sistemik seperti ketirisan dan pembaziran terus berulang.
DR MUKHTARUDDIN MUSA
Ketua Penyelidik (Governans & Polisi)
Yayasan Strategik Lestari – HARAKAHDAILY 14/5/2026











