Isu tanah 1,884 ekar perlu disiasat, dedah kepada rakyat

- Advertisement -

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang digesa menyiasat dan mendedahkan kepada rakyat berhubung isu penggunaan tanah kerajaan seluas 1,884 ekar yang dikatakan dibangunkan tanpa pengetahuan pihak berkuasa negeri.

- Advertisement -

Mohammad Ayub Mat Ashri berkata, isu itu membabitkan satu perjanjian antara Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan sebuah syarikat kontraktor bagi pembangunan ladang kelapa sawit di kawasan terbabit.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing itu, perjanjian berkenaan disifatkan berat sebelah selain dipersoalkan kesahihannya kerana JKKK tidak mempunyai kuasa memberikan tanah kerajaan kepada pihak lain.

“Perjanjian asal menetapkan 30 peratus hasil bersih dibayar kepada JKKK, namun hanya 15 peratus daripada hasil kasar dibayar. Tanah yang dipohon asalnya seluas 696 ekar tetapi pembangunan sebenar mencecah 1,884 ekar sejak 2014,” katanya.

Beliau menyatakan perkara tersebut ketika pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini semalam.

Mohammad Ayub berkata, sepanjang tempoh tanah itu diusahakan sehingga disita pada 2021, kerajaan negeri dipercayai kehilangan hasil kerana cukai tanah dan premium tidak dibayar.

Tambahnya, kawasan berkenaan sebelum ini dicadangkan untuk diwartakan sebagai hutan simpan, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan hasil balak dikeluarkan tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

“Saya harap kerajaan negeri dapat mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil kerana rakyat di Kampung Kawah dan Kampung Kolek sering bertanya mengenai status tanah itu serta peluang pekerjaan untuk anak muda di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurut beliau lagi, kawasan terbabit kini menjadi rebutan pihak tertentu yang cuba mendapatkan hasil sawit daripada ladang berkenaan.

“Saya sendiri menjadi mangsa ‘scammer’ yang cuba menggunakan nama saya bagi mengeluarkan hasil sawit dari ladang tersebut dan laporan polis sudah dibuat,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/5/2026

- Advertisement -