Pahang wajar terima pampasan lebih adil pelihara hutan simpan

Andansura (tengah) pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
- Advertisement -

KUANTAN: Kerajaan Pahang wajar menerima pampasan lebih adil daripada Kerajaan Persekutuan berikutan pengorbanan negeri itu mengekalkan kawasan hutan simpan kekal yang luas demi kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berserah, Dato’ Andansura Rabu berkata, kawasan hutan simpan dan hutan simpan kekal di negeri itu masih berada dalam keadaan terkawal dengan keluasan melebihi tiga juta hektar.

- Advertisement -

Katanya, keluasan hutan terbabit memainkan peranan penting sebagai kawasan tadahan karbon selain membantu mengurangkan kesan perubahan iklim dan pelepasan karbon.

“Pahang memainkan peranan yang sangat penting di Semenanjung Malaysia kerana kita mempunyai kawasan hutan yang besar dan luas.

“Pengorbanan negeri ini mengekalkan hutan untuk melindungi rakyat serta memastikan bekalan oksigen dan keseimbangan alam sekitar perlu diberikan penghargaan sewajarnya,” katanya.

Beliau menegaskan demikian ketika ditemui media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini semalam.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan ketika ini menyalurkan pampasan kira-kira RM20 juta setahun kepada Pahang bagi usaha mengekalkan hutan simpan, namun jumlah itu disifatkan terlalu kecil.

Jelasnya, Pahang berada di tangga kelapan penerima pampasan walaupun negeri itu antara yang terbesar dari segi keluasan hutan simpan berbanding negeri lain.

“Negeri Kedah menerima pampasan lebih besar daripada Pahang, sedangkan kita mengekalkan kawasan hutan yang sangat luas.

“Kalau dikira dari sudut hasil yang boleh diperoleh melalui penerokaan, kita dianggarkan kerugian hampir RM20 bilion kerana memilih untuk memelihara hutan ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Negeri terus membawa perkara berkenaan kepada perhatian Kerajaan Persekutuan supaya jumlah pampasan lebih setimpal dapat diberikan kepada Pahang.

Katanya, pampasan lebih adil penting bagi memastikan usaha pemuliharaan hutan dapat diteruskan demi manfaat rakyat dan alam sekitar negara. – HARAKAHDAILY 14/5/2026

- Advertisement -