Sanusi gesa jangan kompromi perangi rangkaian dadah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Hukuman lebih ekstrem wajar dikenakan kepada sindiket dadah, pengedar serta rangkaiannya kerana dadah bukan sahaja merosakkan masyarakat, malah musuh nombor satu negara.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hukuman ekstrem secara tidak langsung boleh menggerunkan pengedar dadah dari sewenang-wenangnya merosakkan orang lain.

“Tangkaplah, kalau tak boleh tangkap, tembak. Tembak boleh. (Bekas Presiden Filipina, Rodrigo) Duterte tembak pengedar dadah, berapa ribu orang dah kena. Selesai masalah dadah di Filipina. Dadah ini isu nombor satu negara.

“Rosak masyarakat kerana dadah, takkan nak ringan-ringankan. Ambil tindakan paling ekstrem sekali kepada pengedar dadah. Jangan melindungi sesiapa,” tegas beliau ketika ditemui di Wisma Darul Aman, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata demikian sebagai reaksi dan penjelasan berkenaan dakwaan bahawa Langkawi yang dikatakan pusat sindiket dadah agak besar.

“Sindiket dadah di Langkawi ini, saya dengar lama dah. Dadah ini mereka lepas di laut, kemudian akan ada bot lain ambil, kemudian edar. Operasi mereka begitu. Perkara itu antara yang saya pesan kepada pasukan polis. Langkawi pusat transit dan pengedaran dadah.

“Banyaklah tangkapan yang dibuat. Benda tu ‘on going’ lah, polis dah tau dah modus operandi mereka macam mana. Jadi mudah untuk buat tangkapan,” tambah beliau lagi.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah menegaskan, hal berkaitan dadah ini tidak boleh diambil mudah kerana ramai yang telah rosak akibat najis durjana ini.

“Emak bapa derita, Tiga empat kali anak masuk dalam (penjara), jual motor, jual tanah, habis tak dak apa, jual rumah, nak jamin anak keluar Saya kata jangan jamin, biar pi situ. Nanti dia keluar buat pula, nak jual apa pula lagi, tapi kerana sayang anak.

“Begitulah emak bapa sayangkan anak-anak tetapi pengedar dadah, sindiket dan rangkaiannya tak fikir begitu, dia kira ambil duit sahaja,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 13/5/2026

- Advertisement -