
KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang disaran menyegerakan pembinaan litar permotoran di negeri ini bagi memastikan bakat muda dalam sukan berkenaan dapat dibangunkan secara lebih tersusun tanpa terbeban dengan kos latihan di luar negeri.
Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar (PN-Tanjung Lumpur) berkata, ketiadaan litar sesuai di Pahang menyebabkan atlet muda terpaksa menjalani latihan di negeri lain termasuk Pulau Pinang, sekali gus memberi tekanan kewangan kepada keluarga.
Beliau berkata, situasi itu dialami pelumba muda berbakat dari Sungai Isap, Al-Adam Mikail Mohd Hamirul Aliff, 12, yang sudah mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Pada usia sangat muda, beliau sudah menjuarai beberapa kejohanan junior di peringkat kebangsaan dan pernah mewakili Malaysia ke pentas antarabangsa di Sepanyol dalam kategori 160cc pada kejohanan FIM MiniGP tahun lalu.
“Ini bukan pencapaian kecil, sebaliknya satu kebanggaan besar buat negeri Pahang,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini.
Menurutnya, di sebalik kejayaan itu, keluarga pelumba terbabit terpaksa menanggung kos tinggi meliputi latihan, penyertaan kejohanan, penyelenggaraan jentera dan perjalanan keluar negeri.
Katanya, ramai lagi anak Pahang berusia antara 10 hingga 12 tahun aktif dalam sukan permotoran dan memerlukan sokongan kerajaan negeri supaya bakat mereka tidak terbiar begitu sahaja.
“Saya dimaklumkan ada kira-kira 10 anak Pahang dalam lingkungan usia itu terbabit dalam sukan permotoran. Jadi kerajaan negeri perlu melihat peranan dan usaha yang boleh dilakukan untuk membantu bakat seperti ini,” katanya.
Rosli berkata, beliau difahamkan kerajaan negeri sebelum ini pernah memaklumkan cadangan pembinaan dua litar permotoran di Pahang iaitu di Pekan dan kawasan Pahang Barat termasuk Temerloh.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berharap projek berkenaan dapat dipercepatkan demi masa depan atlet muda negeri itu.
“Banyak duit terpaksa digunakan kerana mereka perlu berlatih di luar negeri. Saya harap perkara ini dapat diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/5/2026











