‘Kedah tenang dan kami relaks ja’ – MB Sanusi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipecat BERSATU masih kekal memegang jawatan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, sehingga proses rayuan selesai.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mereka yang terlibat masih boleh membuat rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pemecatan.

“Setakat ini jawatan mereka masih kekal, dan saya difahamkan mereka boleh mengemukakan rayuan melalui proses serta prosedur parti masing-masing. Saya akan tunggu proses itu. Satu kesalahan tidak boleh dihukum dua kali.

“Contohnya, pak (ayah) tibai anak mandi sungai. Balik rumah, kena tibai dengan mak pula. Salah dia mandi sungai saja. Dah kena tibai di sungai, di rumah pun kena lagi,” kata beliau ketika ditemui media, di Wisma Darul Aman, hari ini.

Kedah katanya yang juga ADUN Jeneri, tetap dalam keadaan tenang, malah isu tersebut tidak menggugat keharmonian serta kestabilan negei ini.

Kata beliau, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah datang berjumpanya sebelum ini sementara beliau juga telah mengadap mempersembahkan hal tersebut bagi memohon perkenan, pandangan serta nasihat Tuanku Sultan Kedah.

“Saya tidak mahu terburu-buru membuat keputusan. Sekiranya tempat mereka diganti dengan ADUN yang lain, katakanlah rayuan mereka diterima, saya hendak letak mereka di mana pula? Takkan nak dok atas ‘riba’ orang yang ganti tu pula. Tak bolehlah.

“Kedah ni tenang, walaupun saya ni kasaq sikit tapi kami ‘relaks’ ja, tenang-tenang saja. YB yang kena pecat pun gelak saja, hangpa pula lebih-lebih,” katanya bercampur gurauan.

Jumaat lalu, BERSATU menerusi notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan, Dzowahir Ab Ghani (ADUN Suka Menanti) dan Abdul Razak Khamis (ADUN Sungai Tiang) dipecat daripada parti berkuat kuasa serta-merta.

Kedua-duanya dipecat di bawah Fasal 22.5 perlembagaan parti kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Sehingga ini, Abdul Razak masih kekal sebagai Timbalan Speaker DUN Kedah dan Dzowahir terus memegang jawatan selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, sehingga proses rayuan selesai.

Terbaharu, ADUN Derga, Mohamad Amri Wahab yang juga Ketua BERSATU Bahagian Pokok Sena juga digantung hak keahlian selama dua penggal.

Notis berkenaan memaklumkan Mohamad Amri tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tamat tempoh penggantungan. – HARAKAHDAILY 13/5/2026

- Advertisement -