Permohonan maaf Dr Nik Zawawi jernihkan kekeruhan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kepimpinan PAS menerima penjelasan dan permohonan maaf daripada Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dato’Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh susulan kekhilafan yang berlaku ketika ucapan beliau dalam satu ceramah di Kuala Terengganu.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan, penjelasan serta permohonan maaf itu diharapkan menjadi pengajaran dan panduan kepada masyarakat.

- Advertisement -

“Perkara ini (diharapkan) menjadi pengajaran serta panduan kepada masyarakat untuk mendalami ilmu pengetahuan.

“(Serta) meneliti panduan para ulama terdahulu dalam memahami sesuatu peristiwa, serta membezakan antara kitab-kitab sirah, hadis dan athar para sahabat,” ujarnya dalam kenyataan.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, penjelasan dan permohonan maaf atas sesuatu kekhilafan adalah sikap terpuji yang wajar dihayati.

Beliau turut memetik sabda Rasulullah SAW daripada Al-Hasan bin Ali RA yang diriwayatkan dalam Sunan al-Tirmizi, bahawa, ‘Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu’.

Menrutnya, antara kaedah fiqh yang terkenal ialah ‘Keluar daripada khilaf adalah digalakkan’, yang disebut ramai ulama usul dan fiqh termasuk Jalaluddin al-Suyuti dalam Al-Asybah wa al-Naza’ir.

Dalam kenyataan sama, beliau menjelaskan kesilapan para Sahabat RA pada zaman Jahiliah telah diampuni Allah SWT sebelum mereka menjadi Sahabat Rasulullah SAW dan turut berjuang bersama Baginda.

“Semoga kita terus memperkasakan pembinaan ummah dan mengukuhkan perjuangan dalam mendepani cabaran semasa. Semoga kita sentiasa berada dalam inayah Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, Dr Nik Zawawi mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat dan penyampaian kenyataan yang mencetuskan kontroversi, sekali gus memohon maaf atas kekhilafan tersebut.

Beliau menjelaskan kenyataan asalnya bertujuan menekankan kehebatan risalah Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW dalam mengubah masyarakat jahiliah kepada kehidupan lebih mulia dan berperadaban, bukan untuk menghina mana-mana pihak.

Dr Nik Zawawi turut menegaskan isu itu adalah kekhilafan peribadi dan tidak berkaitan dengan pendirian Parti Islam Se-Malaysia (PAS) atau kepimpinannya.

Beliau berkata demikian susulan tular petikan ucapannya dalam satu ceramah di Kuala Terengganu baru-baru ini menceritakan perihal kehidupan Sayidina Abu Bakar, Umar, Usman, Ali Abi Talib dan Hamzah sebelum memeluk Islam.

Nik Zawawi dilapor menggambarkan Abu Bakar sebagai ‘bapa ceti’ kerana gemar memberi pinjaman kepada orang ramai dan menekan golongan miskin, manakala Umar dikatakan berperwatakan ganas dan suka berzina. – HARAKAHDAILY 13/5/2026

- Advertisement -