
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, mengakui beliau kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan berhubung isu yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.
“Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut. Saya sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan oleh Allah SWT.
“Tujuan asal kenyataan saya hanyalah untuk menjelaskan serta memberikan penekanan mengenai kehebatan risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam mengubah sosio budaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang lebih mulia dan berperadaban,” ujarnya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian merujuk petikan ucapannya dalam satu ceramah di Kuala Terengganu baru-baru ini menceritakan perihal kehidupan Sayidina Abu Bakar, Umar, Usman, Ali Abi Talib dan Hamzah sebelum memeluk Islam.
Dr Nik Zawawi dilaporkan menggambarkan Abu Bakar sebagai ‘bapa ceti’ kerana gemar memberi pinjaman kepada orang ramai dan menekan golongan miskin, manakala Umar dikatakan berperwatakan ganas dan suka berzina.
Walau bagaimanapun, beliau merakamkan penghargaan kepada para tuan guru, asatizah, sahabat serta seluruh masyarakat yang memberikan teguran, nasihat dan pandangan kepadanya susulan kontroversi berkaitan pengucapannya.
Beliau turut menegaskan bahawa beliau mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara itu sebagai kekhilafan peribadi dan ia tidak berkaitan dengan pendirian PAS mahupun kepimpinannya.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala kekhilafan saya dan menerima segala usaha kita semua dalam menyampaikan dakwah dengan hikmah dan kebijaksanaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/5/2026











