
KUALA LUMPUR: Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan membentangkan data lebih lengkap dan jujur berhubung penggunaan petrol RON95 rakyat, khususnya berkaitan pelaksanaan BUDI95.
Ketua Penerangan PAS Pusat itu menegaskan rakyat tidak boleh dihukum berdasarkan purata penggunaan petrol yang tidak menjelaskan realiti sebenar kehidupan rakyat.
“Bentangkan purata. Bentangkan median. Bentangkan pecahan umur. Bentangkan lokaliti. Bentangkan pola perjalanan. Bezakan antara pelajar, pengguna sesekali, pengguna motosikal, pekerja harian, keluarga besar, penduduk luar bandar dan pengguna gig.
“Barulah rakyat boleh menilai dengan adil sama ada kuota BUDI95 benar-benar munasabah, atau hanya kelihatan munasabah kerana data yang dipilih tidak menunjukkan keseluruhan kebenaran,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Beliau berkata demikian merujuk dakwaan Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong bahawa program BUDI95 membantu kerajaan memahami corak penggunaan petrol rakyat secara lebih terperinci, dengan data menunjukkan kira-kira 80 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan.
Liew Chin Tong memaklumkan fokus kerajaan bukan sekadar mengurangkan subsidi, tetapi memastikan bekalan petrol negara kekal mencukupi sekiranya berlaku krisis atau ketegangan global berpanjangan.
Walau bagaimanapun, menurut Ahmad Fadhli, bagi isu sebesar kos hidup rakyat, kerajaan tidak boleh bermain dengan angka kelihatan cantik di atas kertas kerana di sebalik angka itu terdapat rakyat yang sedang berkira untuk makan setiap hari.
Beliau memaklumkan beliau tertanya-tanya mengenai kenyataan Timbalan Menteri Kewangan bahawa majoriti rakyat Malaysia menggunakan kurang 150 liter RON95 sebulan kerana angka itu tanpa konteks boleh membawa kepada naratif mengelirukan rakyat.
Jelasnya, apabila disebut majoriti rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter, 150 liter atau 100 liter petrol sebulan, angka itu mungkin kelihatan logik untuk membawa kepada pengurangan subsidi seterusnya.
“Namun rakyat berhak bertanya satu soalan lebih penting iaitu angka itu mewakili siapa. Adakah ia benar-benar menggambarkan pengguna aktif yang bergantung kepada kenderaan setiap hari.
“Atau ia sekadar purata nasional yang sudah direndahkan oleh kumpulan yang memang jarang menggunakan petrol,” soalnya.
Beliau berpandangan persoalan besar mengenai BUDI95 bermula apabila skim itu bukan sahaja melibatkan pekerja yang berulang-alik jauh ke tempat kerja.
Tetapi menurut beliau, ia turut membabitkan ibu bapa, peniaga kecil, pengguna gig, penduduk luar bandar, keluarga besar serta mereka yang tinggal di kawasan yang lemah jaringan pengangkutan awam.
Tambahnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, kelayakan BUDI95 pula diberikan kepada warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dan mempunyai lesen memandu aktif.
“Ini bermakna data berkemungkinan memasukkan kumpulan yang sangat luas termasuk pelajar, pemegang lesen muda, pengguna motosikal ringan.
“(Termasuk) warga emas yang jarang memandu, pengguna sesekali serta mereka yang memiliki lesen tetapi tidak bergantung kepada petrol setiap hari.
“Jadi apabila kerajaan menyebut 80 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter, 60 peratus kurang daripada 150 liter atau 50 peratus kurang daripada 100 liter, angka itu tidak boleh dibaca secara lurus,” tegasnya.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai siapa sebenarnya yang berada dalam kelompok angka berkenaan.
Menurutnya, jika pelajar, pengguna bandar yang mempunyai Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT), pemilik lesen jarang memandu serta pengguna motosikal ringan dimasukkan sekali, purata nasional sememangnya akan kelihatan rendah.
“Namun purata itu tidak semestinya menggambarkan beban sebenar rakyat yang paling bergantung kepada petrol,” tambah beliau.
Sehubungan itu, beliau menekankan kerajaan perlu membentangkan pecahan data secara lebih lengkap termasuk purata penggunaan mengikut umur, median penggunaan, pecahan umur pengguna.
Juga katanya, pola penggunaan mengikut lokaliti, pecahan jenis kenderaan serta jarak perjalanan harian rakyat, kerana perkara itu penting kerana Malaysia bukan satu ruang perjalanan yang seragam.
“Seorang pekerja di Kuala Lumpur yang mempunyai MRT, LRT, bas dan ‘e-hailing’ tidak sama dengan seorang pekerja di kawasan kampung atau pinggir bandar yang tiada pilihan selain memandu sendiri.
“Seorang pelajar yang mengisi minyak sekali-sekala tidak sama dengan seorang bapa yang setiap hari menghantar anak ke sekolah, pergi kerja, membeli barang dapur dan mengurus ibu bapa tua.
“Seorang pengguna motosikal ringan tidak sama dengan keluarga besar yang menggunakan MPV untuk urusan harian,” ulasnya.
Beliau berpendapat kenyataan bahawa ‘majoriti rakyat tidak terkesan’ boleh menjadi mengelirukan sekiranya data tidak dipecahkan dengan betul.
“Data umum memang boleh kelihatan menenangkan. Tetapi jika tidak dibaca dengan adil, ia boleh menjadi alat untuk mengecilkan keresahan rakyat,” jelasnya.
Ahmad Fadhli turut menyuarakan kebimbangan terhadap pengurangan kuota standard BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter bermula 1 April 2026.
Menurut beliau, alasan diberikan ialah purata penggunaan individu sekitar 100 liter sebulan dan hampir 90 peratus pengguna menggunakan kurang daripada 200 liter.
“Kini apabila timbul pula wacana 150 liter, walaupun kemudiannya dijelaskan sebagai bukan pengumuman dasar, rakyat tetap wajar bertanya sama ada angka umum ini sedang digunakan untuk menyediakan alasan psikologi bagi pengurangan seterusnya,” ulasnya.
Beliau mengakui rakyat tidak menolak keperluan mengurus subsidi dan memahami negara sedang berdepan tekanan fiskal serta keperluan menangani ketirisan subsidi.
“Namun rakyat tidak boleh dipaksa menerima dasar kos hidup berdasarkan bacaan data yang separuh lengkap. Jika BUDI95 mahu digunakan sebagai alat pengurusan permintaan, gunakanlah dengan adil.
“Jangan hanya lihat berapa ramai berada di bawah paras tertentu. Lihat juga siapa berada di atas paras itu. Adakah mereka membazir atau mereka sebenarnya rakyat biasa yang terpaksa bergerak jauh setiap hari kerana tuntutan kerja, keluarga dan kehidupan. Inilah yang kerajaan mesti jawab,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 13/5/2026











