
SHAH ALAM: Pemuda PAS Selangor dan Pemuda Umno Selangor telah mengadakan pertemuan strategik ke arah usaha memperkukuhkan kerjasama antara parti-parti Melayu dan Islam ketika landskap politik negara dilihat berada dalam situasi mencabar.
Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, pertemuan yang berlangsung kira-kira dua jam itu melibatkan Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar dan Ketua Pemuda Umno Selangor, Datuk Imran Tamrin.
Beliau memberitahu, pertemuan tersebut memberi fokus kepada beberapa agenda utama termasuk Musyawwarah Nasional yang dibawa Umno serta agenda Penyatuan Ummah diperjuangkan PAS.
“Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan isu-isu yang meresahkan orang Melayu, kepentingan dan kedaulatan Islam di Malaysia, serta kebimbangan terhadap naratif ‘Malaysian Malaysia’ dan agenda negara sekular.
“Meskipun PAS dan Umno berada dalam blok politik yang berbeza, ia tidak menghalang pemuda kedua-dua parti untuk meneroka ruang kerjasama (taawun) demi agenda lebih besar, iaitu mempertahankan dasar Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata perkembangan politik semasa khususnya di Selangor memperlihatkan keperluan mendesak ke arah penyatuan yang lebih kukuh dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam.
Katanya, pengaruh politik DAP dilihat semakin meningkat, seiring usaha parti tersebut yang giat memperkukuh naratif ‘Malaysian Malaysia’ dan negara sekular, terutama menjelang PRU-16.
“Selangor yang sebelum ini dianggap kubu kuat Pakatan Harapan kini dilihat berdepan perubahan, sekali gus membuka ruang kepada usaha penyatuan ini,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyentuh isu kandang babi di Selangor dikaitkan dengan tindakan beberapa pemimpin DAP dan PKR di peringkat negeri serta Persekutuan yang dikatakan cuba membelakangi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurut Faizuddin lagi, walaupun titah Baginda Sultan Selangor telah diberikan berulang kali supaya isu tersebut diselesaikan, perkembangan semasa masih mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
“Terdahulu, tindakan beberapa pemimpin DAP yang terus membangkitkan isu berkaitan penternakan babi di Selangor disifatkan sebagai tidak menghormati titah Sultan Selangor,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa sebarang usaha merombak asas kontrak sosial negara atas nama kesamarataan mutlak perlu ditangani secara tegas melalui kerangka demokrasi sedia ada.
“Justeru, usaha mengekang agenda ‘Malaysian Malaysia’ perlu digerakkan secara lebih tersusun dengan melibatkan pemimpin Melayu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu bukan kerajaan (NGI), khususnya menjelang PRU-16,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan paling berkesan ketika ini adalah melalui penyatuan Melayu dan Islam, khususnya antara PAS dan Umno yang dilihat sebagai dua kuasa besar dalam landskap politik negara.
“Selangor berpotensi menjadi pencetus awal kepada kebangkitan penyatuan ini,” katanya pada pertemuan turut disertai bersama kepimpinan utama kedua-dua pihak dalam suasana mesra dan terbuka.– HARAKAHDAILY 13/5/2026











