
KUANTAN: Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan membantah eksport pasir seperti yang didakwa dan tular di media sosial.
Beliau berkata, kenyataan yang dikaitkan dengannya pada tahun 2017 itu dikeluarkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan bukannya daripada beliau sendiri.
Menurutnya, laporan yang diterbitkan media ketika itu hanya memetik pandangan beberapa sumber termasuk NGO berkenaan.
“Saya tengok diviralkan gambar saya bersama kenyataan sekarang dan dipetik satu kenyataan kepada Harakah.
“Saya nak beritahu kepada Menteri Besar, kenyataan pada 2017 itu bukan daripada mulut saya. Itu fitnah. Kenyataan itu daripada Sahabat Alam Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang pada Persidangan Dewan Negeri Pahang Ke-5 berhubung dakwaan PAS sebelum ini membantah penjualan atau eksport pasir.
Bagaimanapun Tuan Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka berkata, beliau tidak bercadang mengambil tindakan saman terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan berkenaan.
“Takkan semua benda nak saman. Tunggu di akhirat sajalah. Bagi saya yang penting, fitnah itu perlu disekat daripada terus diviralkan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan pihaknya bersetuju dengan aktiviti eksport pasir selagi mematuhi semua piawaian dan syarat ditetapkan pihak berkuasa. – HARAKAHDAILY 12/5/2026











