
KUANTAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, Ustaz Nazri Ahmad membangkitkan kelewatan pembangunan Skim Tanah Rakyat (STR) di Felda Selancar 1 yang disifatkan terus membebankan generasi baharu.
Menurutnya, meskipun lebih tiga tahun berlalu, projek tersebut masih gagal menunjukkan perkembangan memuaskan sehingga menyebabkan penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri membuka jalan masuk ke kawasan tapak lot perumahan berkenaan.
“Isu STR di Felda Selancar 1, sudah lebih tiga tahun berlalu, namun tiada apa-apa kemajuan sehingga baru-baru ini para peserta dan penduduk berpakat untuk membuat jalan masuk sendiri ke kawasan tapak lot tersebut,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika membahaskan Titah Diraja pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, STR merupakan inisiatif yang baik dalam membantu generasi baharu memiliki kediaman sendiri, namun pelaksanaannya perlu disertakan dengan penyediaan infrastruktur asas oleh kerajaan.
“Kerajaan negeri seharusnya menyediakan terlebih dahulu prasarana asas seperti jalan raya dan sistem perhubungan, sistem saliran dan kumbahan serta kemudahan awam bagi membantu para peserta membina rumah idaman masing-masing,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Rompin. – HARAKAHDAILY 12/5/2026











