
SELAMA tujuh tahun menjadikan buku karya Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ini sebagai teks diskusi bulanan di Pejabat Menteri Besar (MB) Terengganu.
Pagi ini, Selasa 12 Mei 2026, MB Terengganu Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, meluangkan masa mengkhatamkan buku ini bersama staf Pejabat MB, pegawai lantikan politik, media MB dan yang berkaitan.
Saya tahu masa MB sangat padat dengan pelbagai program dan urusan di pelbagai peringkat. Justeru, kesediaan MB bersama dalam penutup buku pagi tadi boleh disebut sebagai:
ختامه مسك
Khitamuhu misk
‘Penutupnya itu sebagai wangi-wangian.’
Tentunya selama tujuh tahun diskusi buku ini, bermacam pengajaran yang boleh diambil dari pelbagai sudut kehidupan.
Nabi SAW menyebut:
عليكم بسنتي و سنة خلفاء الراشدين المهديين من بعدي عضوا عليها بالنواجذ
Maksudnya: Peganglah dengan sunnahku dan sunnah Khulafa al-Rasyidin (pengganti yang cerdik) yang mendapat petunjuk selepasku. Gigitlah ia dengan geraham kamu.
Justeru, diskusi bulanan ini bukan sekadar mengisi slot, membuat program dan menghabiskan bacaan sebuah buku. Ia mengenai tanggungjawab sebagai khalifah di bumi, menjadi insan yang mengabdikan diri kepada Allah, sehingga menjadikan negeri dan negaranya tunduk kepada sistem yang Allah turunkan. Ia adalah kerja yang sangat besar.
Dr Samsuri, dalam ucapan penutupnya bagi mengkhatamkan kitab ini menyebut tentang tugas yang sangat besar untuk dipikul selaku MB Terengganu. Jawatan tidak diminta, tetapi diamanahkan.
Sebagaimana Khulafa al-Rasyidin terdahulu bimbang untuk memikul tugas besar ini, begitulah sedikit sebanyak perasaan Dr Samsuri ketika berkongsi cerita mengenai jawatan MB yang mula dipegang pada tahun 2018 hingga kini.
Namun, kekuatan motivasi daripada alim ulama dan lain-lain, berbekalkan petunjuk daripada al-Quran dan hadis juga seperti yang Allah sebutkan:
لا يكلف الله نفسا إلا وسعها
Maksudnya: Allah tidak membebankan seseorang melainkan setakat kemampuannya.
Juga apabila Allah mengingatkan supaya pemimpin mesti berlaku adil, Dr Samsuri berusaha untuk berlaku adil setakat yang mampu, walaupun tentunya untuk sampai peringkat seperti para sahabat, ia sangat sukar, maka tugasan berat ini terus dipikul.
Dr Samsuri mengingatkan agar sesuatu jawatan itu termasuk jawatan tertinggi negara jangan dijadikan cita-cita, berdasarkan maksud hadis Nabi SAW yang mengingatkan bahawa seseorang yang meminta-minta jawatan, sedangkan dia tidak layak, maka Allah biarkan. Jika dia tidak meminta, tetapi diminta memikul amanah itu, InsyaAllah Allah akan menolongnya.
Saya juga teringat kepada hadis Nabi SAW yang menyebut:
مَا بَعَثَ اللَّهُ مِنْ نَبِيٍّ، وَلاَ اسْتَخْلَفَ مِنْ خَلِيفَةٍ، إِلاَّ كَانَتْ لَهُ بِطَانَتَانِ: بِطَانَةٌ تَأْمُرُهُ بِالْخَيْرِ وَتَحُضُّهُ عَلَيْهِ، وَبِطَانَةٌ تَأْمُرُهُ بِالشَّرِّ وَتَحُضُّهُ عَلَيْهِ، وَالْمَعْصُومُ مَنْ عَصَمَ
اللَّهُ
Maksudnya: “Tidaklah Allah mengutus seorang Nabi dan tidak juga mengangkat seorang khalifah (pemimpin), melainkan baginya dua jenis bitanah (penasihat/teman rapat): Satu jenis penasihat yang menyuruhnya kepada kebaikan dan mendorongnya ke arah itu, dan satu lagi penasihat yang menyuruhnya kepada keburukan dan mendorongnya ke arah itu. Maka orang yang terpelihara itu adalah orang yang dipelihara oleh Allah.” (riwayat al-Bukhari: 6611).
Semoga Allah sentiasa memelihara Dr Samsuri bagi terus menerajui negeri Terengganu Darul Iman yang menjadi negeri bahagia serta maju, berkat, sejahtera dengan mendapat rahmat Ilahi.
NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Pegawai Khas (Agama), Pejabat Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 12/5/2026











