
KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang dilihat terus meminggirkan wakil rakyat pembangkang berikutan mereka bukan sahaja tidak menerima peruntukan kawasan, malah tidak lagi dijemput menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Ustaz Shahril Azman Abd Halim berkata, tindakan itu menafikan peranan wakil rakyat yang dipilih secara sah oleh rakyat untuk membawa suara serta kebajikan penduduk di kawasan masing-masing.
Menurut beliau, kerajaan negeri ketika ini menyalurkan peruntukan sebanyak RM15,000 seminggu kepada Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), namun wakil rakyat pembangkang tidak diberikan sebarang peruntukan.
“Saya bukan pertikai bantuan kepada rakyat. Kita sokong bantuan itu kerana duit tersebut memang untuk rakyat. Tetapi persoalannya, kenapa wakil rakyat yang dipilih secara sah tidak diberikan peruntukan?
“Duit itu hasil cukai rakyat, maka sewajarnya disalurkan juga kepada ADUN yang dipilih rakyat,” katanya dalam satu sidang media selepas Persidangan Dewan Negeri Pahang, di sini semalam.
Beliau berkata, alasan bahawa peruntukan hanya diberikan kepada wakil rakyat kerajaan tidak sepatutnya timbul susulan pembangkang mempunyai fungsi semak dan imbang dalam memastikan tadbir urus kerajaan berjalan dengan baik.
“Kalau tidak boleh beri penuh, berilah sebahagian supaya wakil rakyat boleh guna untuk bantu rakyat di kawasan masing-masing. Kita ini bukan kerajaan, tetapi peranan pembangkang ialah memperbetulkan kerajaan dalam mengurus harta rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Shahril, wakil rakyat pembangkang sudah lebih setahun tidak dijemput menghadiri mesyuarat JTPD yang disifatkan penting untuk membincangkan isu pembangunan serta penyelarasan peringkat daerah.
Katanya, sebelum ini wakil rakyat pembangkang dibenarkan hadir dan boleh berinteraksi secara terus dengan pegawai daerah serta ketua jabatan bagi menyuarakan pandangan dan mengetahui perancangan pembangunan setempat.
“Perkara itu juga selaras dengan titah Tuanku yang menyarankan agar semua YB berhubung secara langsung dengan pejabat kerajaan serta ketua-ketua agensi bagi memperkukuh urus tadbir.
“Namun, dalam pelaksanaannya, terdapat kekangan tertentu. Ada keadaan di mana usaha untuk mengadakan kunjungan hormat turut tidak dipermudahkan, dipercayai atas arahan tertentu yang tidak dinyatakan secara terbuka.
“Justeru, perkara ini kita bangkitkan di dewan, namun jawapan Exco seolah-olah menunjukkan bahawa dasar sedia ada akan diteruskan, iaitu wakil rakyat pembangkang tidak dibenarkan menghadiri Mesyuarat JTPD,” katanya.
Menurut beliau, penghujung tahun 2024 menyaksikan jemputan kepada pembangkang mula dihentikan sebelum mereka langsung tidak dijemput sepanjang 2025 dan sehingga kini pada tahun ini.
Katanya, hanya program rasmi melibatkan keberangkatan Sultan Pahang menyaksikan semua wakil rakyat kerajaan dan pembangkang dijemput bersama.
“Tapi kalau mesyuarat biasa yang dibuat pegawai daerah, mereka hanya ikut arahan pihak tertentu di peringkat negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/5/2026











