
KUANTAN: Ustaz Nazri Ahmad (PN-Bukit Ibam) menggesa Kerajaan Negeri Pahang supaya mengamalkan pendekatan lebih demokratik dengan memberi ruang kepada wakil rakyat pembangkang terlibat secara langsung dalam mesyuarat pembangunan daerah.
Menurut beliau, wakil rakyat pembangkang juga dipilih rakyat dan sewajarnya diberi peluang bersama-sama menyumbang idea serta pandangan demi pembangunan negeri.
“Bukit Ibam mengharapkan kerajaan negeri bersikap lebih demokratik dengan membenarkan wakil rakyat pembangkang menghadiri Mesyuarat Tindakan Pembangunan Daerah bagi kita sama-sama berganding bahu membangunkan negeri Pahang tercinta.
“Bulat kata kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Beliau turut membangkitkan isu keselamatan jalan raya khususnya di kawasan Felda Keratong yang memerlukan perhatian segera kerajaan negeri dan pihak berwajib.
Justeru, Nazri mempersoalkan sama ada terdapat perancangan untuk menambah pemasangan lampu solar di beberapa simpang jalan gelap yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Menurutnya lagi, antara lokasi disebut ialah simpang masuk Bandar Melati, simpang Kampung Lubuk Batu, simpang Kota Bahagia serta beberapa laluan dalam gugusan Felda Keratong.
Selain itu, beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin turut menyentuh potensi besar sektor pelancongan di daerah itu dan Bukit Ibam yang masih belum dimanfaatkan secara optimum.
“Tidak keterlaluan kalau saya katakan Rompin adalah gerbang pelancongan bagi negeri-negeri Pantai Timur,” katanya sambil menyenaraikan Pulau Tioman dan Taman Negeri Endau-Rompin sebagai aset pelancongan utama negeri.
Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan agar lokasi berpotensi seperti Tasik Biru, Jeram Leleh dan Bukit Sembilan diberikan perhatian sama ada melalui projek naik taraf atau penganjuran aktiviti riadah dan rekreasi.
Katanya, langkah itu bukan sahaja mampu merancakkan sektor pelancongan tempatan, malah membantu mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi antara daerah dalam negeri Pahang. – HARAKAHDAILY 12/5/2026











